Tokoh Akademik Negara
- Penerima
- Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Khoo Kay Kim
- Institusi
- Universiti Malaya (UM)
Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Khoo Kay Kim dilahirkan pada 28 Mac 1937 di Perak dan merupakan Sejarawan Malaysia yang terkenal dan salah seorang yang terlibat dalam penulisan Rukun Negara Malaysia. Beliau berkelulusan Ijazah B.A (Hons) dalam bidang sejarah daripada Universiti Malaya, Singapura pada tahun 1960. Beliau seterusnya menamatkan pengajian dalam bidang yang sama di Universiti Malaya (UM) pada tahun 1964. Minat yang mendalam dalam bidang sejarah membuatkan beliau meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) di universiti yang sama dan berjaya menamatkan pengajian pada tahun 1974. Beliau juga melakar sejarah yang tersendiri apabila merupakan rakyat Malaysia pertama yang mendapatkan PhD dari Fakulti Sastera, Universiti Malaya.
Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Khoo Kay Kim berpengalaman selama lebih 50 tahun dalam bidang Sejarah Malaysia. Beliau memulakan kerjaya akademik di UM pada tahun 1964 sebagai Tutor dan seterusnya dilantik ke jawatan Profesor serta penyandang Kursi Sejarah Malaysia bermula tahun 1974 sehingga 1992. Kepimpinan beliau terserlah apabila dilantik sebagai Dekan, Fakulti Sastera & Sains Sosial untuk tempoh dua tahun bermula pada tahun 1984. Beliau juga adalah pensyarah pertama di luar Pengajian Melayu yang memberi pengajaran dalam Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu). Sepanjang bergelar sebagai ahli akademik dan tokoh sejarah, beliau giat menjalankan penyelidikan berkaitan sejarah terutamanya di Malaysia dan telah mendapat beberapa geran penyelidikan daripada agensi kerajaan dan antarabangsa. Antaranya adalah dari Toyota (Jepun,1988), Sumitomo (Jepun,1993) dan British Council (United Kingdom, 2000).
Kesarjanaan Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Khoo Kay Kim terserlah apabila beliau telah menghasilkan sebanyak 87 buah rencana akademik yang diterbitkan oleh jurnal-jurnal ilmiah berimpak tinggi di dalam dan luar negara seperti Segi Sejarah, Malaysia in History, Jurnal Sejarah, Malaysian Journal of History, Politics and Strategic Studies (JEBAT), Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (JMBRAS), Journal of Southeast Asia History (JSEAH), The Southeast Asia Review dan New Zealand Asia Studies Association. Tema penulisan beliau meliputi pelbagai aspek sejarah Malaysia serta berdasarkan penyelidikan yang dijalankan dari semasa ke semasa. Pandangan beliau adalah bersifat ‘Malaysian Centric’ iaitu menekankan pandangan tempatan sebagai interpretasi sejarah negara. Dari sudut karya penulisan, beliau banyak menghasilkan dan menyunting buku-buku ilmiah untuk rujukan seperti Transformasi & Demokrasi (1971); The Western Malay States:The Effects of Commercial Development on Malay Politics (1972); Pensejarahan Malaysia (1975); A History of Southeast Asia, South and East Asia: Essays and Documents (1977); Panji-panji Gemerlapan:Satu Pembicaraan Pensejarahan Melayu (1979); Taiping:Ibu Negeri Perak (1981); Teluk Anson (Teluk Intan): 100 Tahun (1982); Kenegaraan 25 Tahun:Satu Perspektif Sejarah (1983); Majalah dan Akhbar Melayu Sebagai Sumber Sejarah (1984); 100 Years of Kuala Lumpur as Local Authority (1990); His Majesty Sultan Azlan Shah(1991); Malay Society:Transformation and Democratization (1991); Pacific Bank:75 Years of Service to Community (1996); Thoughts on Malaysian Historiography (1996); Kuala Lumpur : The Formative Years (1996); dan The Commemoration of The 40th Anniversary Of Federal Hotel, 1957-1997 (1997). Beliau juga telah menulis buku berkenaan Sejarah yang masih digunakan oleh pelajar sekolah sehingga ke hari ini.
Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Khoo Kay Kim banyak memberi sumbangan kepada negara dari sudut akademik sehingga beliau pernah menjawat pelbagai jawatan dalam dan luar negara termasuklah dilantik sebagai Pemeriksa Luar di negara Australia, Singapura, Hong Kong dan Brunei Darussalam. Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Perancang Akademi Pengajian Melayu, UM dan Ahli, Review Committee, History Department, University of Auckland, New Zealand. Kepakaran beliau dalam bidang sejarah turut terserlah apabila beliau menjadi pakar rujuk untuk menentukan hala tuju dan polisi dalam bidang sejarah seperti Institute of Strategic & International Studies (ISIS), Persatuan Sejarah Malaysia dan lain-lain. Beliau pernah menganggotai pelbagai badan kebangsaan dan antaranya adalah sebagai Ahli Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) (2004-2010), Ahli Lembaga Institut Integriti Malaysia (2004-2013), Ahli Board of Trustees Merdeka Awards (2007-2013), Ahli Malaysia-Indonesia Eminent Persons Group (2008), Ahli Malaysian Anti-Corruption Commission (MACC) (2009-2012), Ahli Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong (sehingga kini), dan Ahli Jawatankuasa Penasihat Wang Kertas dan Duit Syiling Malaysia. Kemuncak kepada ketokohan beliau sebagai tokoh pendidik adalah dengan penganugerahan gelaran Profesor Emeritus dari Universiti Malaya (UM) pada tahun 2001.
Selain fokus dan memberi tumpuan dalam bidang akademik, Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Khoo Kay Kim juga terkenal sebagai pengulas sukan terutamanya dalam bidang bola sepak negara. Beliau telah mengambil kursus sebagai jurulatih sukan bertauliah pada tahun 1962 dan diiktiraf sebagai jurulatih Malaysian Amateur Athletics Union (MAAU). Beliau juga pernah dilantik sebagai penjaga masa semasa penganjuran Southeast Asia Games, Kuala Lumpur pada tahun 1965. Pada tahun 1994, beliau dilantik sebagai Pengarah Pusat Sukan di UM yang pertama dan bertanggungjawab menubuhkan Pusat Sukan serta penawaran program Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan buat kali pertama di Malaysia. Penglibatan beliau dalam dunia sukan diiktiraf melalui penulisan dalam akhbar tempatan dan keanggotaan dalam jawatankuasa badan-badan sukan negara. Beliau juga merupakan juri bagi pemilihan tokoh sukan negara. Pada tahun 1985, beliau dilantik untuk menganggotai Technical and Development Committee, Football Association of Malaysia (FAM) sehingga tahun 1995. Seterusnya, sebagai Penasihat Alumni Malaysian University of Southern California (MUSCA) dan Malaysian Amateur Athletics Union (MAAU) pada tahun 1996.
Di atas ketokohan serta pencapaian cemerlang Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Khoo Kay Kim sepanjang zaman terutama dalam menaikkan martabat Sejarah di Malaysia, beliau telah dianugerahkan Fellowship Malaysian Historical Society pada tahun 2012 oleh Persatuan Sejarah Malaysia dan The Brand Laureate Most Eminent Brand Icon Leadership Award daripada The Asia Pacific Brand Foudation (APBF) pada tahun 2013.
- Hits: 24761