Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak dilahirkan pada 28 September 1951 dan beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda pada tahun 1976 dari Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Farmasi dan Sarjana pada tahun 1978 dari University of Strathclyde dalam bidang Farmakologi. Beliau dikenali dengan ketokohan dalam kepimpinan akademik khususnya dalam memperjuangkan kesaksamaan dan keadilan serta konsep kelestarian pendidikan tinggi sebagai agenda antarabangsa, khususnya UNESCO, baik untuk Malaysia mahupun untuk dunia. Keterampilan beliau sebagai tokoh pemikir dan pemimpin akademik tersohor, berlandaskan wawasan yang diyakini dan diamalkannya, menjadikan beliau sebagai rujukan di peringkat institusi, negara dan antarabangsa.
Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan dilahirkan pada 26 Oktober 1942 di Pasir Mas, Kelantan. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Kepujian (kelas pertama) dari Universiti Malaya pada tahun 1966 daripada Jabatan Pengajian Islam dan memiliki Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Falsafah dan Ijazah Kedoktoran dari Universiti Columbia, New York pada tahun 1970, 1972 dan 1975. Bidang pengkhususan beliau adalah pemikiran Islam semasa, khususnya di Asia Tenggara.
Prof. Dr. Mohamad Roji Sarmidi dilahirkan pada 18 Jun 1960 dan berkelayakan Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Kimia dari Aston University, United Kingdom. Terdahulu daripada itu, beliau memperoleh Ijazah dalam bidang Kejuruteraan Kimia dari University of Surrey, United Kingdom dan seterusnya menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Biokimia di University of Birmingham, United Kingdom.
Prof. Madya Dr. Tazul Izan Tajuddin dilahirkan pada 31 Januari 1969 di Banting, Selangor. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Muzik (Komposisi) daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada tahun 1991 dan Ijazah Sarjana dalam bidang yang sama daripada Carnegie Mellon University, USA pada tahun 1996. Beliau seterusnya melanjutkan pengajian di University of Sussex, UK dan memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada tahun 2002.
Prof. Madya Dr. Mohd. Makmor Bakry dilahirkan pada 5 September 1974 dan merupakan anak kelahiran Melaka. Beliau berkelulusan PhD dalam (Medicine & Therapeutics) dari University of Glasgow, Scotland, United Kingdom. Berbekalkan pengalaman selama 13 tahun berkhidmat sebagai ahli akademik kini beliau merupakan Timbalan Dekan (Siswazah, Penyelidikan & Inovasi) di Fakulti Farmasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).