Tokoh Akademik Negara
- Penerima
- Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli bin Abdul Razak
- Institusi
- Universiti Sains Malaysia (USM)
Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak dilahirkan pada 28 September 1951 dan beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda pada tahun 1976 dari Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Farmasi dan Sarjana pada tahun 1978 dari University of Strathclyde dalam bidang Farmakologi. Beliau dikenali dengan ketokohan dalam kepimpinan akademik khususnya dalam memperjuangkan kesaksamaan dan keadilan serta konsep kelestarian pendidikan tinggi sebagai agenda antarabangsa, khususnya UNESCO, baik untuk Malaysia mahupun untuk dunia. Keterampilan beliau sebagai tokoh pemikir dan pemimpin akademik tersohor, berlandaskan wawasan yang diyakini dan diamalkannya, menjadikan beliau sebagai rujukan di peringkat institusi, negara dan antarabangsa.
Sebagai seorang ahli farmasi, kemampuan Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak diiktiraf oleh WHO untuk menganggotai WHO Scientific Advisory Committee of Tobacco Product Regulation dan WHO Expert Advisory Panel on Drug Policies and Management. Usaha beliau telah berjaya mengukuhkan kesedaran awam terhadap penyalahgunaan drug (ubat) dan kesan buruknya dalam negara membangun. Ini telah membolehkan beliau memenangi anugerah 'Olle Hanson Award', pemenang tunggal dari Malaysia sehingga kini.
Citra ketokohan Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak mula menonjol semasa beliau menjadi Pengarah Pengasas Pusat Racun Negara (PRN) yang pertama di Malaysia pada tahun 1994. Pusat Racun Negara telah dilonjak ke pentas dunia apabila diiktiraf sebagai WHO Collaborating Centre for Drug Information oleh Western Pacific Regional Office (WPRO).
Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak merupakan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 2000-2011 dan beliau telah berjaya melahirkan puluhan pemimpin akademik cemerlang dan memartabatkan USM sebagai salah sebuah universiti tersohor. Beliau telah berjaya meletakkan USM sebagai satu antara tujuh pusat rintis di seluruh dunia untuk United Nations University (UNU), Tokyo yang dikenali sebagai Pusat Kepakaran Serantau (RCE) bagi pendidikan untuk Pembangunan Lestari. Beliau sehingga kini menganggotai jawatankuasa yang bertanggungjawab menilai setiap satu penubuhan RCE selaras dengan matlamat UN Decade of Education for Sustainability.
Falsafah pendidikan Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak yang berteraskan “insaniversiti” (Humaniversity) untuk menginsankan semula universiti telah dikembangkan dan diinstitusikan melalui Pusat Penyelidikan Mizan sebagai perintis konsep kelestarian ala Islam. Beliau juga mempelopori kepemimpinan berteraskan qalbu. Justeru itu, golongan terkebawah ("bottom billion") telah mendapat pembelaan pihak bertanggungjawab hasil daripada usahanya.
Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak dipilih sebagai Presiden ke-14 (2012-2016), International Association of Universities (IAU) – sebuah organisasi dengan keahlian lebih 600 universiti berpangkalan di UNESCO Paris, merupakan pengiktirafan langsung kepimpinannya diperingkat global dan beliau merupakan warga Malaysia pertama memegang tampuk paling berprestij ini. Beliau juga telah menerima undangan khas untuk menyertai dua panel Dialog Nobel oleh Nobel Foundation pada Disember 2015 di Sweden. Dalam hal ini, lagi sekali beliau merupakan anak Malaysia pertama diberi penghormatan ini.
Ketokohan Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak amat ketara sebagai cendekiawan umum yang telah berjaya membuka minda masyarakat mengenai berbagai isu akademik melalui lebih daripada 1000 makalah hasil nukilan beliau di media massa. Justeru, beliau merupakan satu-satunya Naib Canselor dan kini sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, yang mempunyai kolum mingguan tersendiri.
- Hits: 3504