Tokoh Akademik Negara
- Penerima
- Prof. Emerita Datuk Dr. Asma Binti Ismail
- Institusi
- Universiti Sains Malaysia (USM)
LATAR BELAKANG
Prof. Emerita Datuk Dr. Asma binti Ismail dikenali di peringkat nasional dan antarabangsa atas ketokohan, kepimpinan dan sumbangan beliau dalam kemajuan ekosistem pendidikan tinggi, penyelidikan bioteknologi perubatan berimpak tinggi dan pejuang perubahan dasar dan tadbir urus Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) supaya ia menjadi penggerak utama ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.
Kehebatan kepimpinan akademik beliau diiktiraf oleh pelbagai institusi akademik antarabangsa terutamanya di negara-negara
Organisation of Islamic Cooperation (OIC), Asia dan Komanwel.
KERJAYA
Beliau adalah felo
The Academy of Sciences for the Developing World (TWAS) (2010), felo
The Islamic World Academy of Sciences (2016), Ahli Lembaga dan Pengerusi Program
International Institute for Applied Systems Analysis (2016) dan ahli kehormat
The Iranian Academy of Medical Sciences (2017).
Beliau juga adalah ahli
College of Fellows Keele University, United Kingdom, Presiden
Japan Society for the Promotion of Science Alumni Association Malaysia Chapter (2018), Majlis Penasihat
Ritsumeikan Asia Pacific University, Jepun dan Ahli Majlis
Council for The Promotion of Education and Research on Technology and Science untuk mengukuhkan pendidikan TVET di Jepun.
Beliau dilantik sebagai Ahli Majlis
International Institute of Applied Systems (IIASA), Laxenburg, Austria dan ahli lembaga
Islamic World Science Citation Center bagi OIC di Shiraz, Iran. Kepimpinan beliau dalam pendidikan tinggi diiktiraf apabila dilantik sebagai ahli
College of Fellows, Keele University,
Honorary Fellow Commonwealth of Learning, Honorary Scholar, IIASA, Laxenburg, Austria dan terkini sebagai Ahli Lembaga
Commonwealth of Learning yang berpusat di Vancouver, Canada (2020–2022) untuk mewakili Asia.
KEPAKARAN
Dengan kewibawaan dan kepakarannya dalam bidang sains, beliau telah dilantik sebagai Presiden, Akademi Sains Malaysia (ASM) (2016–2022), Ahli Majlis Sains Negara (2020–2022) dan terkini ahli Majlis Tindakan Kemakmuran Bersama sebagai tokoh akademik.
Ketokohan beliau tidak terhad pada ekosistem pendidikan dan penyelidikan. Beliau juga menjadi pakar rujuk dalam industri halal terutamanya dalam aspek Sains Halal sebagai Ahli Jawatankuasa Majlis Profesional Halal yang mengawal kualiti Profesional Halal & Penyedia Latihan Halal.
PENCAPAIAN
Ketokohan beliau dalam bidang akademik dan penyelidikan berimpak mendapat sanjungan global melalui penganugerahan ijazah kehormat daripada University of Glasgow (2013), Keele University (2017) dan Kyoto University of Foreign Studies (2017).
Dalam kepimpinan pentadbiran beliau mencatat rekod sebagai “wanita pertama” untuk memegang jawatan penting di peringkat kebangsaan, antaranya sebagai Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) (2012-2014) dan Universiti Sains Malaysia (USM) (2016–2019). Beliau juga merupakan wanita pertama sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi di Jabatan Pendidikan Tinggi dan Pengerusi Majlis Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) (2019–2021).
Beliau turut dilantik sebagai Ahli Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) (2015–2018) dan dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan dalam bidang akademik (2019).
Kecemerlangan beliau dalam penyelidikan terserlah apabila memenangi pelbagai anugerah unggul, termasuk Anugerah Saintis Muda Negara (1991), Anugerah Wanita Cemerlang AVON–Tan Sri Fatimah (Kategori Perubatan dan Sains) (1996), Anugerah Sains dan Teknologi, Malaysia Toray Science Foundation (2002), Anugerah Perekacipta Negara (2002), Anugerah Inovasi Negara (2006) dan Anugerah Akademik Negara (Kategori Inovasi dan Pengkomersialan Produk, 2006).
Segala sumbangan dan pencapaian beliau yang berimpak tinggi pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa membuktikan kewibawaan beliau sebagai tokoh akademik yang bitara lagi tersohor.