Tokoh Akademik Negara

Penerima
Profesor Dato' Dr. Adeeba Binti Kamarulzaman
Institusi
Universiti Malaya (UM)
LATAR BELAKANG
Dato’ Profesor Dr. Adeeba Kamaruzzaman merupakan ahli sarjana yang terkenal dalam bidang perubatan atas pencapaiannya dan sumbangannya dalam bidang penyelidikan penyakit berjangkit dan advokasi perubatan di Malaysia dan juga di pentas antarabangsa. Beliau yang pernah menempa nama dalam Majalah Forbes 50 Over 50 tahun 2022 sebaris dengan Tokoh Wanita terkenal dunia merupakan anak kelahiran Kelantan yang berkelulusan dari Universiti Monash dan dilatih dalam bidang perubatan dalaman dan penyakit berjangkit di Pusat Perubatan Monash dan Hospital Penyakit Berjangkit Fairfield, Australia.
Berpengalaman lebih 30 tahun, beliau komited memperjuangkan minat penyelidikannya dan kepakarannya untuk menumpukan penggunaan pendekatan pragmatik serta berkesan berdasarkan bukti terhadap pencegahan HIV dan AIDS dalam populasi utama, termasuk orang yang menggunakan dadah dan banduan. Apabila Dato’ Professor Dr. Adeeba menubuhkan Unit Penyakit Berjangkit di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada tahun 1996, kepimpinan beliau telah berjaya mengangkat institusi tersebut menjadi salah satu pusat rujukan HIV dan AIDS yang tersohor dalam negara.


PENCAPAIAN
Lanjutan daripada itu, beliau merupakan individu utama memimpin penubuhan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dalam AIDS (CERiA) di UM yang merupakan salah satu daripada beberapa pusat di rantau asia yang menjalankan penyelidikan khusus dalam AIDS. Sebagai seorang pakar yang terkemuka dan dihormati dalam bidang pengawalan penyakit berjangkit, beliau sering mengharumkan nama Malaysia menerusi pengiktirafan dan perlantikannya dalam organisasi serantau serta antarabangsa yang berprestij tinggi. Ini termasuklah sebagai ahli Panel Pakar Saintifik UNAIDS, Kumpulan Penasihat Strategik dan Teknikal Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) Mengenai HIV, Majlis Sains bagi WHO, Persatuan Penyakit Berjangkit Antarabangsa, Majlis Tadbir Persatuan AIDS Antarabangsa dan lain-lain.
Dato’ Professor Dr. Adeeba turut melakar sejarah apabila dilantik menjadi Presiden Asia pertama bagi Persatuan AIDS Antarabangsa pada tahun 2020. Beliau juga merupakan rakyat Malaysia pertama untuk dilantik sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Global Polisi Dadah. Beliau yang begitu aktif di barisan hadapan untuk mengemudi agenda kesedaran berkenaan penyakit HIV dan AIDS, Dato’ Professor Dr. Adeeba juga telah dinamakan sebagai salah seorang daripada 20 saintis wanita paling berpengaruh di dunia islam kerana mencapai kejayaan yang luar biasa dalam menangani isu dan pemasalahan penyakit berjangkit di Malaysia. Ketika negara berhadapan dengan pandemik COVID-19, beliau merupakan salah seorang wira di belakang tabir yang mempunyai tanggunjawab besar selaku pakar rujuk kerajaan dan Ketua Task Force Mengawal COVID-19 PPUM untuk mengekang penularan wabak maut itu. Atas jasa dan sumbangan tersebut, beliau telah terpilih sebagai penerima Anugerah Merdeka 2022 bagi kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi.


SUMBANGAN DAN ANUGERAH
Beliau juga pernah memenangi Anugerah Merdeka pada tahun 2008 kerana penglibatannya dalam pasukan penyiasat yang mengawal wabak Virus Nipah pada akhir 1990-an di Malaysia. Kecemerlangan beliau dalam dunia perubatan turut mendapat penghargaan dan pengiktirafan daripada di peringkat antarabangsa. Antaranya ialah Anugerah Fellowship Australia-Asia, Anugerah Global Advance Australia, Anugerah Austrian Life Foundation Lifeball Crystal of Hope dan banyak lagi.
Sumbangan besar beliau kepada agenda Pendidikan Malaysia lebih ketara apabila Dato’ Professor Dr. Adeeba membantu merombak kurikulum perubatan untuk melatih doktor dan ahli perubatan yang paling 3 / 5kompeten untuk negara ketika masih berkhidmat sebagai Dekan Fakulti Perubatan UM. Beliau juga telah memberi tumpuan yang tidak berbelah bahagi untuk membantu kerajaan dalam mempertingkatkan program kurikulum siswazah bidang perubatan demi memacu aspirasi kecemerlangan Malaysia dalam Pendidikan dan penyelidikan.


  • Hits: 607
Hubungi Kami
  • Tel:

    03-8870 6559 / 6553 / 6546
  • E-mel:

    Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Hakcipta Terpelihara 2006 - 2021 © Anugerah Akademik Negara (AAN), Kementerian Pengajian Tinggi