Slider

Anugerah Seni dan Kreativiti (Kategori Seni Visual / Seni Bina / Seni Kraf)

Penerima
Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi bin Sedon @ M. Dom
Institusi
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Profesor Madya Dr. Mohd Fauzi bin Sedon

Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi bin Sedon @ M. Dom dilahirkan pada 17 September 1971 di Batu Pahat, Johar. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Seni Halus) dari Universiti Teknologi MARA pada tahun 1994 dan Ijazah Sarjana dalam bidang yang sama dari University of Central England, Birmingham, United Kingdom pada tahun 1996. Beliau seterusnya melanjutkan pengajian di University of Tasmania, Australia dan memperoleh Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang seni halus pada tahun 2007.

Bidang pengkhususan utama Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi bin Sedon @ M. Dom adalah seni halus (seni cetakan). Seni cetakan adalah salah satu bidang yang terdapat dalam bidang seni halus dan kebanyakan pengajian di peringkat pengajian tinggi hanya ditawarkan oleh negara Eropah, Amerika dan negara Timur (seperti di Jepun). Namun demikian, bidang ini telah melalui evolusinya sehingga merentasi pelbagai bidang ilmu seni visual dan industri seni kreatif yang lain. Kematangan pengajian seni cetakan telah dilonjakkan lagi dengan berasaskan penyelidikan praktik studio (Studio Practice Research).

Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi bin Sedon @ M. Dom telah mengembangkan potensi bakat dan minat masyarakat termasuk pelajar-pelajar sekolah dalam seni cetakan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat terutamanya dalam konteks pengembangan seni budaya. Usaha yang dijalankan oleh beliau dalam melonjakkkan kepentingan dan pengetahuan seni cetakan melalui penyelidikan praktik studio telah berjaya mendapat pengiktirafan antarabangsa. Beliau juga telah berjaya memperkenalkan keunikan pendekatan pengkaryaan pelukis Malaysia dan bertindak sebagai agen pengembangan seni budaya bangsa sehingga ke persada antarabangsa. Sebagai contoh, penglibatan beliau dalam program pemindahan ilmu di Lawas, Sarawak yang bermula sejak tahun 2013 memberikan pengetahuan bidang seni cetak Sutera Saring dari aspek proses dan teknik serta aplikasinya kepada kulit kayu. Teknik cetakan yang diperkenalkan ini berupaya meningkatkan produktiviti dan nilai estetik produk dalam pasaran di dalam dan luar negara.

Sumbangan dan jasa Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi bin Sedon @ M. Dom dalam mengembangkan bidang ini telah diiktiraf melalui penerimaan anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Antaranya adalah Honorable Mention : Philip Morris Art Award, Pingat Emas di Malaysian Invention and Design Society (ITEX), Malaysian Association of Research Scientists (MARS), Anugerah Gangsa di Korea Invention Promotion Association (SIIF) dan Pingat Gangsa di PECIPTA.

Usaha yang berterusan serta kegigihan Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi bin Sedon @ M. Dom membuahkan hasil apabila beliau telah menerima Geran Residensi Antarabangsa dari Regency Art, Doha, Qatar untuk program Al-Asmakh Art Atelier 2014 dan Al-Asmakh International Symposium of Art 2015. Karya-karya beliau menjadi koleksi di beberapa agensi tempatan dan antarabangsa seperti di Regency Art Qatar, Doha, Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Retirement Fund (Incorporated) Malaysia serta menjadi koleksi peribadi dan milik perseorangan di serata negara termasuklah Malaysia, Australia dan Amerika Syarikat.

  • Hits: 1909
Hubungi Kami
  • Tel:

    03-8870 6559 / 6553 / 6546
  • E-mel:

    Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Hakcipta Terpelihara 2006 - 2021 © Anugerah Akademik Negara (AAN), Kementerian Pengajian Tinggi