Slider

Tokoh Akademik Negara

Penerima
Prof. Emeritus Tan Sri Datuk Dr. Augustine Ong Soon Hock
Institusi
Universiti Sains Malaysia (USM)

Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr. Augustine Ong Soon Hock

Prof. Emeritus Tan Sri Datuk Dr. Augustine Ong Soon Hock dilahirkan pada 18 September 1934 di Melaka dan merupakan Saintis Negara dalam bidang kimia dan teknologi minyak sawit. Beliau mendapat pendidikan awal di St. Francis Institution di Melaka dan meneruskan pengajian di St. John Institution, Kuala Lumpur. Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Kelas Pertama dan Ijazah Sarjana dari Universiti Malaya. Seterusnya beliau melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kimia organik di King's College, Universiti of London, United Kingdom.

Prof. Emeritus Tan Sri Datuk Dr. Augustine Ong Soon Hock berkhidmat dengan cemerlang sebagai Pensyarah, Profesor dan Dekan Pusat Pengajian Sains Kimia, Universiti Sains Malaysia dari tahun 1970 hingga 1991. Ketokohan beliau terserlah dalam bidang pendidikan sehingga beliau pernah menjawat pelbagai jawatan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa antaranya adalah sebagai Saintis Kunjungan di Massachusetts Institute of Technology, USA (1966-1967), Ahli Fulbright Scholarship Selection Board (Chemistry Section) (1968-1969), Profesor Kunjungan di University of Oxford, United Kingdom (1976-1977), Ahli Working Group on Chemical Education, Asian Federation of Chemical Societies (1979), Ahli Asean Project on Management and Utilization of Food Waste materials Working Group (1980-2000), Chairman Wembley Activated Clay Steering Committee (1985), Profesor Adjung di Universiti Sunway (2005), Profesor Adjung di Universiti Malaya (2008-2011) dan Pengarah, Malaysian-American Commission on Educational Exchange (MACEE), Kini, beliau berkhidmat sebagai Profesor Emeritus di Universiti Sains Malaysia.

Sumbangan dan jasa Prof. Emeritus Tan Sri Datuk Dr. Augustine Ong Soon Hock kepada negara dalam bidang pendidikan telah mendapat pengiktirafan dan anugerah oleh pelbagai institusi yang berprestij di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Antara penganugerahan yang diterima beliau adalah Senior Fellow, Academy of Sciences Malaysia (1999), Distinguished Science Alumni Award, National University of Singapore (2006), Honorary Medal and Certificate from Cosmonautics Federation of Russia (2007) dan Honorary Fellow, The International Society of Professional Engineers, Los Angeles, California (2009).

Selain menyinari dunia akademik, Prof. Emeritus Tan Sri Datuk Dr. Augustine Ong Soon Hock juga banyak berjasa dalam pembangunan dan perkembangan industri di Malaysia terutamanya industri kelapa sawit negara sehingga ke tahap global. Beliau telah berjaya mendapat paten pertama dari Britain pada tahun 1974 dalam penyelidikan lemak lipid diikuti dengan 15 lagi paten yang difailkan di US, UK, Jepun, Australia dan Malaysia. Penyelidikannya dalam bidang kelapa sawit merangkumi beberapa aspek meliputi komposisi kimia, nilai nutrisi, latihan teknikal dan pengolahan bahan buangan. Penyelidikannya dalam pemisahan tokotrienol daripada lemak asid kelapa sawit telah menerima pengiktirafan secara global. Berbekalkan pengetahuan serta kepakaran yang ada dan strategi penyelidikan, beliau telah berjaya dalam usaha menangkis segala tomahan gerakan "Anti-Palm Oil Campaign" (1987 -1989) terhadap minyak kelapa sawit Malaysia. Beliau pernah dilantik sebagai Ketua Pengarah Palm Oil Research Institute of Malaysia (PORIM) (1987-1989), Leader PORIM Special TAS Mission to the USA (1987), Penasihat PORIM (1989-1990), Pengarah Perkhidmatan Saintifik dan Teknikal, Director Palm Oil Promotion Council (1990-1996) dan Pengerusi Panel Penilai R&D, Malaysia Rubber Board. Beliau juga merupakan Ahli Malaysian Institute of Chemistry Council dari tahun 1969 hingga 1988. Minat yang mendalam dalam bidang sains telah mendorong beliau untuk menubuhkan Malaysian Invention and Design Society (MINDS) yang telah melahirkan ramai saintis dan menjana banyak inovasi negara. Inisiatif pembudayaan inovasi seterusnya telah mencetuskan penubuhan MyPO. Beliau juga telah memegang jawatan sebagai Presiden MINDS dari tahun 1996 hingga 2013.

Prof. Emeritus Tan Sri Datuk Dr. Augustine Ong Soon Hock telah menerima pelbagai penganugerahan hasil daripada kegigihan beliau dalam melonjakkan perkembangan industri sawit Malaysia hingga dapat menembusi pasaran dunia serta ketokohan beliau dalam sains dan inovasi telah diberi pengiktirafan dan penganugerahan oleh pelbagai institusi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Antaranya adalah Kaufman Memorial Gold Lecture, International Recognition of Lipid Chemistry (1988), First Asian Achievement Award for Research and Development by Asean Institute (1992), MSA Golden Jubilee Award in Oil Palm Research, Malaysian Science Association (2005), IFIA Grand Gold Medal & Certificate for Altruistic Promotion of Inventors from The President of the International Federation of Inventors' Associations (2007), Officer of the International Order of Merit of Inventors (IOMI) by International Federation of Inventors (IFIA) (2009), Medal and Certificate on the occasion of the 20th Anniversary of Polish Union of Associations of Inventors and Rationalizators (PZSWIR) (2011), Palm Oil Industry Award PILA (2011), Merdeka Award for Health, Science and Technology (2012) dan Pioneer in Tocotrienol Research from the Oxygen Club of California (2014).

Pada usia 81 tahun, Prof. Emeritus Tan Sri Datuk Dr. Augustine Ong Soon Hock masih lagi aktif dalam bidang penyelidikan dan akademik dan merupakan seorang tokoh tersohor dan idola kepada para saintis negara.

  • Hits: 5144
Hubungi Kami
  • Tel:

    03-8870 6559 / 6553 / 6546
  • E-mel:

    Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Hakcipta Terpelihara 2006 - 2021 © Anugerah Akademik Negara (AAN), Kementerian Pengajian Tinggi