Penemuan saintifik YBhg. Profesor Emerita Datin Paduka Dr. Siti Zuraina Abdul Majid sejak akhir 1970-an telah merevolusikan pemahaman prasejarah Malaysia yang sebelum ini tidak diterokai secara saintifik. Melalui penyelidikan arkeologi bersepadu di Lembah Lenggong dan Niah, beliau membuka lembaran baharu dalam sejarah manusia termasuk penemuan teknologi alat batu Paleolitik tertua di Asia Tenggara, perluasan sempadan budaya gangsa dari Thailand ke Malaysia, serta penemuan rangka Perak Man, individu pertama dilahirkan dengan kecacatan genetik, Brachymesophlangia Type A2, pada 10,000 tahun dahulu, serta Niah 1977(Sarawak) dengan kecacatan genetik Amelia yang memberikan sumbangan penting kepada sejarah sains perubatan dan genetik manusia. Penemuan ini bukan sahaja mengisi kelompangan besar dalam naratif prasejarah negara, malah membina kerangka saintifik baharu berasaskan data tempatan sejajar dengan pendekatan global.
YBrs. Dr. Manraj Singh Cheema merupakan pensyarah kanan di Universiti Putra Malaysia yang menampilkan keunggulan sebagai pendidik abad ke-21. Berlandaskan falsafah pengajaran “Step out of the ordinary, be extraordinary, and achieve the glory,” beliau sentiasa melangkaui sempadan pedagogi tradisional demi membentuk persekitaran pembelajaran yang inklusif, inovatif dan bermakna.
Dengan pengalaman lebih 25 tahun dalam bidang pengajaran dan penyelidikan matematik, Profesor Dr. Haslinda Ibrahim telah mendedikasikan kerjayanya untuk mentransformasikan cara matematik diajar dan dipelajari. Beliau menganggap pengajaran sebagai satu profesion mulia yang membentuk masa depan dan beliau berusaha untuk mencetuskan rasa ingin tahu, pemikiran kritis, dan kreativiti dalam diri pelajarnya.
YBrs. Dr. Rahimah Jamaluddin merupakan seorang pakar dalam bidang Sains Rumah Tangga (SRT) dan pensyarah di Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan pengalaman selama 12 tahun. Berpandukan falsafah pengajaran IMPAK (Ilmu, Meraikan Kepelbagaian, Pembelajaran Bermakna, Amanah dan Ibadah, Keilmuan dan Keusahawanan), beliau memfokuskan pendidikan yang bermakna untuk melahirkan graduan berdaya saing dan berimpak tinggi.
Sebagai seorang sarjana dan penggiat seni, falsafah beliau dalam pengkaryaan sentiasa berpaksikan kepada prinsip bahawa seni adalah anugerah yang perlu dimanfaatkan untuk mendidik jiwa, menyampaikan nilai dan menyatukan masyarakat. Karya beliau tidak berdiri atas estetika semata-mata, tetapi berfungsi sebagai wacana ilmu, dan alat perubahan sosial yang memberi makna kepada kehidupan insan. Justeru, beliau percaya bahawa pengkaryaan seni sama ada dalam bentuk muzik, penulisan, persembahan pentas mahupun modul pembelajaran – perlu diasaskan pada nilai yang luhur, makna yang jujur dan niat yang bersih.
Kajian beliau mencatatkan pencapaian revolusioner dengan membangunkan pelitup muka pertama di dunia yang mampu membunuh mikrob secara serta-merta menggunakan tenaga yang dijana sepenuhnya daripada pernafasan manusia. Inovasi ini menggabungkan teknologi penapis elektroporasi nanowayar Cu(OH)2 dengan penjana triboelektrik berasaskan pernafasan pengguna (R-TENG) yang unik, mampu menukar tenaga biomekanikal dari pernafasan biasa kepada voltan tinggi sehingga 120 volt. Tenaga tersebut menghasilkan medan elektrik ultra tinggi sehingga 19 MV/m pada hujung nanowayar, menyebabkan lebih 99.9% bakteria mati secara segera melalui mekanisme elektroporasi dan penembusan fizikal. Pendekatan ini jauh berbeza daripada pelitup muka konvensional yang hanya menapis secara pasif atau bergantung kepada salutan antimikrob yang mengambil masa untuk berfungsi.
YBrs. Profesor Madya Dr. See Kok Fong kini memegang jawatan sebagai Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia. Selain daripada peranan utamanya, beliau turut berkhidmat sebagai Felo Penyelidik di Institute for Transport and Development, City University of Applied Sciences, Bremen, serta sebagai Ahli Lembaga Penasihat Health Performance Unit, Kementerian Kesihatan Malaysia.
YBhg. Profesor Datin Dr. Norhayati Mohd Noor ialah Pensyarah Perubatan dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Kesihatan Keluarga) yang telah mencapai pelbagai kejayaan cemerlang di peringkat antarabangsa. Beliau tersenarai dalam Top 2% Scientists in the World oleh Universiti Stanford melalui Elsevier Data Repository selama tiga tahun berturut-turut (2022-2024) dalam bidang kepakarannya. Atas sumbangannya dalam kesihatan ibu, beliau dilantik sebagai Penasihat Inisiatif Pengukuran Morbiditi Ibu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Geneva, Switzerland.
YBrs. Dr. Muhammad Firdaus Akbar merupakan Profesor Madya di Universiti Sains Malaysia (USM) dan juga seorang inovator akademik dengan membuat perubahan dalam penyelidikan kepada teknologi berimpak tinggi yang menjana pendapatan. Seorang graduan Ph.D. daripada University of Manchester di bawah Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang berprestij, Dr. Firdaus telah berada dalam bidang antara disiplin teknologi pemeriksaan, kecerdasan buatan (AI), dan sistem digital untuk aplikasi industri.