Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal (Bidang Sains)
LATAR BELAKANG
Kajian beliau mencatatkan pencapaian revolusioner dengan membangunkan pelitup muka pertama di dunia yang mampu membunuh mikrob secara serta-merta menggunakan tenaga yang dijana sepenuhnya daripada pernafasan manusia. Inovasi ini menggabungkan teknologi penapis elektroporasi nanowayar Cu(OH)2 dengan penjana triboelektrik berasaskan pernafasan pengguna (R-TENG) yang unik, mampu menukar tenaga biomekanikal dari pernafasan biasa kepada voltan tinggi sehingga 120 volt.
Tenaga tersebut menghasilkan medan elektrik ultra tinggi sehingga 19 MV/m pada hujung nanowayar, menyebabkan lebih 99.9% bakteria mati secara segera melalui mekanisme elektroporasi dan penembusan fizikal. Pendekatan ini jauh berbeza daripada pelitup muka konvensional yang hanya menapis secara pasif atau bergantung kepada salutan antimikrob yang mengambil masa untuk berfungsi.
PENCAPAIAN
Pencapaian ini menandakan satu anjakan paradigma besar dalam bidang penjana triboelektrik nano, dengan memperlihatkan potensi sebenar penggunaan tenaga biomekanikal manusia dalam aplikasi perlindungan kesihatan secara masa nyata dan aktif. Kajian ini telah diterbitkan dalam jurnal berprestij antarabangsa Advanced Functional Materials dengan faktor impak 18.5, menandakan pengiktirafan saintifik global terhadap inovasi ini.
Tambahan pula, pelitup muka ini amat penting untuk melindungi petugas barisan hadapan di hospital semasa wabak penyakit bawaan udara seperti COVID-19. Permohonan paten di bawah PCT No: PCT/MY2024/050058 bertajuk “Electroporation Based Antimicrobial Apparatus” telah difailkan bagi melindungi hak intelek dan memacu komersialisasi. Dengan ciri bebas bateri, mesra alam dan berkesan tinggi, pelitup ini menawarkan penyelesaian pintar dan mampan untuk melindungi masyarakat global pada masa hadapan.
