Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal (Bidang Sains Sosial & Sastera)
LATAR BELAKANG
YBrs. Profesor Madya Dr. See Kok Fong kini memegang jawatan sebagai Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia. Selain daripada peranan utamanya, beliau turut berkhidmat sebagai Felo Penyelidik di Institute for Transport and Development, City University of Applied Sciences, Bremen, serta sebagai Ahli Lembaga Penasihat Health Performance Unit, Kementerian Kesihatan Malaysia.
ANUGERAH
Beliau telah menerima beberapa anugerah berprestij dari luar negara termasuk Taiwan Fellowship (2017), Australia Awards–Endeavour Research Fellowship (2018), Fulbright Visiting Scholar Fellowship (2019), Chey Institute’s International Scholar Exchange Fellowship (2022) dan Fudan Scholar Fellowship (2023). Penglibatan akademik antarabangsa beliau merangkumi pelantikan sebagai Profesor/Sarjana Pelawat di institusi terkemuka seperti University of Massachusetts, University of Queensland, Seoul National University, Fudan University dan National Taiwan University.
KEPAKARAN
Kepakaran penyelidikan beliau tertumpu kepada analisis kecekapan dan produktiviti yang dibuktikan melalui penglibatan dalam pelbagai projek penyelidikan atas tajaan daripada agensi luar, termasuklah Kementerian Sains dan Teknologi Taiwan, National Natural Science Foundation of China, Sumitomo Foundation, Kementerian Pengajian Tinggi, Malaysia Productivity Corporation dan Kementerian Ekonomi (2025).
Pada masa yang sama, penerbitan beliau telah mencecah melebihi 50 makalah jurnal antarabangsa dan melebihi 70 peratus penerbitan dalam jurnal yang bertaraf Q1 atau Q2 berdasarkan Journal Citation Reports. Penerbitan beliau dalam jurnal-jurnal kelompok 25% terbaik termasuk Energy Economics, Energy Policy, European Journal of Operational Research, Socio-Economic Planning Sciences, Technological Forecasting & Social Change, Journal of Cleaner Production, Aquaculture, Sustainability Development dan sebagainya.
