Tokoh Akademik Negara
- SUMBANGAN DAN ANUGERAH
- Lembah Lenggong diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO (2012), satu daripada 19 tapak arkeologi dunia dalam senarai lebih 1,000 tapak UNESCO sekaligus mengangkat Malaysia sebagai penjaga warisan manusia sejagat. Zuraina turut mengesahkan peranan Lenggong sebagai laluan utama migrasi manusia dari Afrika ke Australia, sekali gus menyumbang kepada teori besar dalam sejarah manusia global.
- Sebagai pemimpin akademik dan penyelidik, beliau memainkan peranan penting dalam mentransformasi ekosistem pendidikan tinggi negara. Penubuhan Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia, USM (1999) adalah hasil langsung visinya, merupakan pusat terunggul dan rujukan utama di Asia Tenggara dengan jaringan kerjasama global. Kini, diterajui oleh dua generasi anak didiknya yang mengetuai penyelidikan arkeologi di seluruh negara. Zuraina juga membudayakan penyelidikan melalui pewujudan Galeri Arkeologi Lenggong, penerbitan lebih 30 buku dan dokumentari, penglibatan aktif dalam pendidikan negara dan antarabangsa. Dokumentari Unburying the Past yang mengetengahkan hasil penyelidikan beliau memenangi 4 anugerah antarabangsa, menandakan kejayaan penyelidikan Malaysia di peringkat global.
- Kepimpinan beliau sebagai pengasas pertama menerajui Jabatan Warisan Negara (2006–2014) telah mentransformasi landskap warisan negara. Beliau merangka dan melaksanakan Akta Warisan Kebangsaan 2005, mewujudkan Daftar Warisan Negara, menyeragamkan Penilaian Impak Warisan, dan berjaya mendaftarkan lebih 449 warisan negara serta memperoleh pengiktirafan UNESCO dalam tempoh hanya 8 tahun.
- Inisiatif ini menunjukkan kesan langsung penyelidikan saintifik kepada dasar awam dan pembangunan mampan negara. Impaknya turut melangkaui sempadan akademik apabila Malaysia, buat julung kalinya dalam sejarah, berjaya memenangi kerusi dalam Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO (2011–2015), membuktikan kebolehan saintis tempatan bersaing di pentas antarabangsa. Zuraina juga merupakan ahli pengasas WHITRAP Shanghai, pusat latihan warisan di bawah naungan UNESCO dan masih menjadi rujukan global dalam pemeliharaan warisan, pendidikan, dan penyelidikan arkeologi.
- Sebagai tokoh negara, beliau menerima pelbagai pengiktirafan tertinggi termasuk menerima penghormatan antarabangsa seperti Women at 50 Yale 150 Award (2020), Anugerah Merdeka (2022), dua Ijazah Kehormat, dan Tokoh Gemilang Universiti Malaya (1999). Kepakarannya turut dihargai Cambridge University dan University of Nevada yang memulangkan rangka manusia prasejarah kepada Malaysia merupakan satu tindakan simbolik penghormatan kepada kepimpinan beliau dalam warisan global.
- Kini, beliau menyandang Kursi Za’ba di UPSI dan terus aktif sebagai pakar rujuk dalam hal ehwal warisan dan UNESCO, meneruskan legasi penyelidikan dan kepimpinan akademik yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan manusia sejagat.
-
Penemuan saintifik YBhg. Profesor Emerita Datin Paduka Dr. Siti Zuraina Abdul Majid sejak akhir 1970-an telah merevolusikan pemahaman prasejarah Malaysia yang sebelum ini tidak diterokai secara saintifik. Melalui penyelidikan arkeologi bersepadu di Lembah Lenggong dan Niah, beliau membuka lembaran baharu dalam sejarah manusia termasuk penemuan teknologi alat batu Paleolitik tertua di Asia Tenggara, perluasan sempadan budaya gangsa dari Thailand ke Malaysia,serta menemui rangka Perak Man,individu pertama dilahirkan dengan kecacatan genetik,Brachymesophlangia Type A2, pada 10,000 tahun dahulu, serta Niah 1977 (Sarawak) dengan kecacatan genetik Amelia yang memberikan sumbangan penting kepada sejarah sains perubatan dan genetik manusia. Penemuan ini bukan sahaja mengisi kelompangan besar dalam naratif prasejarah negara, malah membina kerangka saintifik baharu berasaskan data tempatan sejajar dengan pendekatan global.
Sumbangan beliau menjana nilai besar kepada negara antaranya apabila:
- Hits: 596
