Anugerah Seni dan Kreativiti (Kelompok Seni Persembahan)
Sebagai seorang sarjana dan penggiat seni, falsafah beliau dalam pengkaryaan sentiasa berpaksikan kepada prinsip bahawa seni adalah anugerah yang perlu dimanfaatkan untuk mendidik jiwa, menyampaikan nilai dan menyatukan masyarakat. Karya beliau tidak berdiri atas estetika semata-mata, tetapi berfungsi sebagai wacana ilmu, dan alat perubahan sosial yang memberi makna kepada kehidupan insan. Justeru, beliau percaya bahawa pengkaryaan seni perlu diasaskan pada nilai yang luhur, makna yang jujur dan niat yang bersih.
“Saya membawa pendekatan seni yang memanusiakan dalam setiap karya” - Prinsip ini lahir daripada kesedaran terhadap kekosongan makna dan keruntuhan moral dunia moden. Beliau memilih untuk mengangkat hiburan yang mendidik (tarbawi), membina (ta’dibi) dan menyatukan (ta’arufi). Nilai-nilai ini bersifat universal dan inklusif untuk dikongsi oleh khalayak pelbagai latar belakang.
Pemikiran beliau turut dipengaruhi oleh pendekatan Maqasid Syariah, di mana pengkaryaan dilihat sebagai sebahagian daripada penjagaan agama, akal, maruah, harta dan jiwa manusia. Muzik dan seni, jika diolah dengan roh yang betul, dapat menyentuh hati manusia melampaui bahasa keagamaan formal.
Beliau memperjuangkan epistemologi “insider perspective” dalam kajian seni budaya Islam melalui projek seperti This is Nasyid. Beliau membangunkan konsep Halal Entertainment sebagai model hiburan beretika dalam konteks masyarakat moden. Selain itu, penubuhan 'Institute of Islamic Creative and Cultural Industry' secara dalam talian merupakan usaha serius beliau menyatukan para sarjana dalam penyelidikan rentas negara termasuk United Kingdom dan Turkiye.
Pengkaryaan beliau bersifat haraki — tidak terhenti pada ekspresi, tetapi bergerak ke arah aksi. Beliau terlibat aktif dalam program kemanusiaan dan kebajikan kerana percaya seni yang paling indah adalah seni yang memberi harapan dan membina kehidupan masyarakat melalui empati dan kefahaman yang mendalam.
- Hits: 268
