Asas Anugerah
Anugerah ini adalah untuk memberi pengiktirafan kepada ahli akademik yang menghasilkan makalah jurnal terbaik, satu dalam bidang Sains dan satu dalam bidang Sains Sosial dan Sastera bagi tempoh yang dinilai, iaitu dari 1 Januari 2025 sehingga 31 Disember 2025.
Syarat Permohonan
- Setiap Institusi Pendidikan Tinggi hanya dibenarkan mengemukakan tidak lebih daripada TIGA makalah jurnal terbaik di peringkat institusi bagi setiap bidang untuk dipertimbangkan.
- Hanya makalah yang diterbitkan dalam jurnal yang tersenarai di laman web http://jpt.mohe.gov.my/aan layak dipertimbangkan. Senarai tersebut ditentukan berdasarkan kriteria berikut:
- Bagi Bidang Sains, jurnal yang terdapat dalam ISI Journal Citation Report, Science Citation Index Expanded (SCIE) terkini dibahagikan kepada 178 disiplin, dan 5% jurnal teratas (mengikut faktor impak) daripada setiap disiplin itu dipilih sebagai kriteria minimum untuk melayakkan sesuatu makalah jurnal dipertimbangkan.
(Senarai Jurnal Bidang Sains AAN Ke-17)
- Bagi Bidang Sains Sosial dan Sastera, jurnal yang terdapat dalam ISI Journal Citation Report, Social Science Edition (SSCI) dan Arts & Humanities Citation Index (AHCI) terkini dibahagikan kepada 83 disiplin dan 10% jurnal teratas (mengikut faktor impak) daripada setiap disiplin itu dipilih sebagai kriteria minimum untuk melayakkan sesuatu makalah jurnal dipertimbangkan.
(Senarai Jurnal Bidang Sains Sosial dan Sastera AAN Ke-17)
- Bagi jurnal yang tersenarai dalam kedua-dua bidang (i) dan (ii), pemohon perlu memilih hanya SATU kategori bidang yang ingin dipertandingkan.
- Senarai penerbitan yang akan dinilai adalah berdasarkan kepada senarai Journal Citation Report (JCR) berikut:
- Penerbitan Tahun 2025 – JCR 2024.
- Hanya pengarang koresponden yang makalahnya beralamatkan Institusi Pendidikan Tinggi tempatan layak memohon. Sekiranya terdapat lebih daripada seorang pengarang koresponden, hanya SATU permohonan sahaja yang dibenarkan.
- Setiap pemohon dibenarkan mengemukakan hanya SATU makalah untuk dipertimbangkan.
- Makalah tersebut mestilah telah diterbitkan pada tempoh penerbitan yang dinilai.
Kriteria Penilaian Anugerah
Pemilihan pemenang adalah berasaskan skor yang diberi kepada perkara berikut:
- Keaslian makalah dan impak kepada bidang ilmu;
- Sumbangan kepada masyarakat dan/atau negara;
- Impak pada peringkat global; dan
- Penerbitan bersama institusi/agensi/industri tempatan atau antarabangsa.
Nilai Anugerah
Nilai Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal bagi setiap bidang ialah RM50,000 (Ringgit Malaysia Lima Puluh Ribu) berserta sebuah piala dan sijil penghargaan daripada Jabatan Pendidikan Tinggi. Anugerah akan dikeluarkan atas nama pemenang yang akan bertanggungjawab membahagikannya kepada semua pengarang lain mengikut persetujuan kumpulan (warganegara Malaysia sahaja).