MENGILHAM DUNIA DARI MALAYSIA: TIGA SARJANA DILANTIK KE KURSI AKADEMIK LUAR NEGARA

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkukuh agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi melalui pelantikan tiga (3) sarjana tempatan sebagai Penyandang Kursi Akademik Luar Negara berkuatkuasa pada 1 Disember 2025 bagi tempoh dua tahun.
Kursi Akademik Luar Negara merupakan platform strategik yang diwujudkan oleh KPT di universiti terkemuka dunia bagi mengangkat kepakaran sarjana Malaysia, memperkukuh diplomasi pendidikan, serta mempromosikan naratif Malaysia, Asia Tenggara dan dunia Melayu melalui penyelidikan, pengajaran, kerjasama akademik serta advokasi budaya di peringkat global.
Pelantikan ini melibatkan tiga Kursi utama:
1. Prof. Dr. Shahanum binti Md. Shah
Penyandang Kursi Tun Abdul Razak, Ohio University (Amerika Syarikat)
Pelantikan Prof. Dr. Shahanum, 60, dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), merupakan pengiktirafan terhadap reputasi beliau sebagai sarjana ulung dalam pendidikan muzik dan etnomuzikologi. Berkelulusan PhD dari Indiana University, beliau pernah memegang pelbagai jawatan kepimpinan termasuk Penolong Naib Canselor Kolej Seni Kreatif serta Dekan Fakulti Muzik pertama UiTM.
Beliau juga memiliki pengalaman antarabangsa luas sebagai pengajar, penceramah, hakim pertandingan muzik dan kini panel Music Quality Enhancement Europe (2024–2027). Kepakaran beliau dijangka memperkukuh diplomasi seni, pendidikan muzik serta jalinan budaya Malaysia di Ohio University.
2. Prof. Dr. Kartini Aboo Talib @ Khalid
Penyandang Kursi Pengajian Malaysia, Victoria University of Wellington (New Zealand)
Berpengalaman luas dalam dasar awam, etnik dan hubungan masyarakat, Prof. Dr. Kartini, 51, dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kini berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA).
Dengan latar PhD dalam Law, Policy and Society dari Northeastern University (AS), beliau aktif sebagai perunding dasar, penceramah antarabangsa, konsultan untuk badan-badan global serta komentator di media antarabangsa seperti BBC, Al Jazeera dan CNA. Pelantikan ini diyakini dapat memperkukuh naratif Malaysia dan Nusantara dalam wacana akademik global di New Zealand.
3. Prof. Dr. Indirawati @ Indrawati binti Zahid
Penyandang Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim, Beijing Foreign Studies University (China)
Tokoh berpengaruh dalam bidang fonologi dan pengajian Melayu, Prof. Dr. Indirawati, 59, dari Universiti Malaya (UM) kini menjawat jawatan Timbalan Dekan (Ijazah Tinggi, Penyelidikan dan Inovasi) di Akademi Pengajian Melayu.Beliau pernah berkhidmat sebagai profesor pelawat di China, Rusia dan Indonesia serta berperanan penting dalam penubuhan Pusat Pengajian Melayu GDUFS–UM di Guangzhou. Pelantikannya turut diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan penamaan kursi tersebut pada 2024. Kepakaran beliau dijangka mengukuhkan keterlihatan bahasa dan budaya Melayu di China.
Secara keseluruhannya, pelantikan tiga sarjana ini memperlihatkan komitmen KPT dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat rujukan ilmu serantau serta mengangkat pengajian Malaysia dan Melayu di persada antarabangsa. KPT merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan mengucapkan selamat maju jaya kepada semua penyandang Kursi Akademik Luar Negara dalam menggalas amanah mengharumkan nama negara.
- Hits: 442


