YBhg. Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi telah hadir merasmikan Sesi Libat Urus HRD Corp Bersama Kementerian Pendidikan Tinggi bagi penganjuran National Training Week 2025 pada 14 April 2025 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur. Sesi tersebut yang dihadiri oleh 200 wakil dari Kementerian Pendidikan Tinggi termasuk Jabatan Pendidikan Tinggi serta Institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta ini bertujuan untuk mempromosi dan memberi penerangan berkenaan pelaksanaan National Training Week (NTW) atau Minggu Latihan Kemahiran Kebangsaan 2025. Sesi libat urus ini juga merai dan merakamkan penghargaan kejayaan yang disumbangkan oleh penyertaan IPT pada tahun 2024 iaitu sebanyak 11,889 melibatkan 408 kursus berdaftar.
NTW 2025 dijadual berlangsung dari 14 hingga 21 Jun 2025 di seluruh negara dengan objektif untuk memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat Malaysia di samping memanfaatkan pengetahuan yang pelbagai untuk membentuk tenaga kerja yang mahir, kompetitif dan saling berhubung merentasi industri dan negara. Tema pelaksanaan pada tahun ini adalah Pembelajaran Tanpa Sempadan atau "Learning Beyond Knowledge" selari dengan kepengerusian Malaysia dalam ASEAN. Sebagai usaha menyokong inisiatif ini, Institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta disaran untuk menggalakkan penyertaan pelajar dan kakitangan dalam kursus-kursus yang ditawarkan di platform NTW disamping menyediakan latihan dan kursus di platform NTW dan e-Latih bagi mengetengahkan program dan kepakaran yang terdapat di institusi masing-masing agar dapat dimanfaatkan secara percuma oleh rakyat.
Turut hadir dalam sesi libat urus tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Governan dan Pembangunan) merangkap Ahli Lembaga Pengarah HRD Corp, Ketua Eksekutif HRD Corp, Ketua-ketua Wilayah HRD Corp dan para pegawai kanan JPT dan IPT.