KPT PERKUKUH KERJASAMA AKADEMIA–INDUSTRI MELALUI SIMPOSIUM MYMAHIR ACADEMIA FUTURE FORWARD – ZON UTARA

KPT PERKUKUH KERJASAMA AKADEMIA–INDUSTRI MELALUI SIMPOSIUM MYMAHIR ACADEMIA FUTURE FORWARD – ZON UTARA
28 Oktober 2025 | Pulau Pinang
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui kerjasama strategik antara Bahagian Kecemerlangan Akademik Jabatan Pendidikan Tinggi (BKA JPT) bersama-sama Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Peninsula College Georgetown telah berjaya menganjurkan MyMAHIR Academia Future Forward Symposium – Zon Utara yang berlangsung di The Ship Campus, Pulau Pinang. Program ini menghimpunkan seramai 232 peserta yang terdiri daripada wakil institusi TVET, universiti awam, institusi swasta serta rakan industri di bawah tema “Empowering Institutions with Future-Ready Solutions.”
Simposium ini bertujuan memperkukuh kesiapsiagaan institusi pendidikan tinggi dalam menyokong agenda pembangunan tenaga kerja negara melalui strategi yang berteraskan ekosistem dan kolaborasi rentas sektor.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Tuan Ts. Tung Chee Kuan, Presiden, Peninsula Higher Education Group, diikuti ucapan strategik oleh Encik Nazrul Aziz, Ketua Pegawai Strategi Kumpulan, TalentCorp, serta ucapan perasmian oleh YBhg. Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT). Pembentangan utama oleh TalentCorp menampilkan dapatan penting daripada Kajian Impak MyMAHIR, termasuk kesan terhadap pasaran kerja akibat kemunculan kecerdasan buatan (AI), ekonomi hijau dan pendigitalan, selaras dengan keperluan memperkasa tenaga kerja masa depan.
Siri simposium ini diteruskan sebagai kesinambungan legasi Allahyarham Megat Fazrul Azlin Megat Abd Aziz, Naib Presiden, Graduan & Bakat Baharu, yang banyak menyumbang kepada pengukuhan hubungan strategik antara akademia dan industri. Edisi seterusnya bakal berlangsung di Zon Pantai Timur dan Sabah pada November ini.
KPT akan terus mendokong usaha memperkukuh ekosistem kolaborasi yang berimpak tinggi bagi melahirkan graduan berdaya saing serta seiring dengan keperluan tenaga kerja masa depan negara.



- Hits: 492