Program 2u2i

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) (PPPM(PT)) telah dirangka bagi melahirkan graduan yang berbakat, berkemahiran dan berilmu yang bersedia menghadapi cabaran abad ke-21. Sejajar dengan hasrat Lonjakan 1 PPPM(PT) dalam melahirkan graduan holistik, seimbang dan berciri keusahawanan, pendidikan fleksibel telah diperkenalkan melalui program 3+1 atau 2+2 dengan mengambil kira pembelajaran luar kampus atau berasaskan industri.

Program akademik 2u2i menggabungkan pembelajaran akademik dan aplikasi pembelajaran sebenar di tempat kerja. Ia dapat meningkatkan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) yang secara efektifnya dapat diterokai di luar kampus atau di industri di mana pengalaman kerja sebenar dapat disediakan oleh pihak yang berkaitan.  

Selain daripada itu, program akademik 2u2i mampu memberi peluang kepada graduan untuk memperoleh pendapatan sambil belajar (learn and earn). Melalui program akademik 2u2i, graduan mendapat pengalaman industri yang relevan mengikut bidang pengajian; justeru merapatkan jurang ketidaksepadanan di antara kehendak industri dan graduan yang dihasilkan oleh IPT. 

Pengalaman secara aktif dan konstruktif dapat meningkatkan atribut graduan yang dihasratkan terutamanya keyakinan diri, inovasi dan kreativiti, profesionalisme, dan kemahiran komunikasi graduan. Di samping itu juga, kemahiran fungsian graduan seperti pemikiran kritikal, penyelesaian masalah, kerja berpasukan, kemahiran sosial, kecerdasan emosi dan kemahiran perundingan dapat dipertingkatkan. Secara keseluruhannya, program akademik 2u2i mampu mengukuhkan domain kognitif, psikomotor dan afektif graduan. 

Kesemua ciri ini akan melahirkan graduan yang bersifat peka dan tersedia industri (industry aware and industry ready) yang seterusnya dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan. Hasrat ini dapat dicapai melalui kerjasama di antara pihak IPT dan industri dalam mereka bentuk dan menyampaikan program akademik 2u2i secara terus, berstruktur dan formal agar program akademik yang ditawarkan sentiasa relevan, berdaya saing dan dipacu industri.  

Jenama 2u2i digunakan untuk menggambarkan mod pengajian di mana Pembelajaran dan Pengajaran yang berlaku di dalam dan di luar kampus dalam pelbagai kombinasi seperti 3u1i, 2u2i, 2u1i, dan 1½u1i. Huruf ‘u’ di dalam 2u2i merujuk kepada universiti yang mana terma ini digunakan bagi mewakili semua IPT yang merangkumi universiti, kolej, politeknik dan kolej komuniti. Manakala huruf ‘i’ pula merujuk kepada industri di mana pembelajaran berlaku di dalam dunia pekerjaan sebenar. Pembelajaran di dalam dan di luar kampus boleh dilaksanakan dalam pelbagai kombinasi tempoh tahun yang diperuntukkan bagi pembelajaran di IPT seperti 3+1 (3u1i), 2+2 (2u2i), 2+1 (2u1i), dan 1½+1 (1½u1i). 

 

  • Hits: 36950

Ikuti kami di media sosial rasmi:

©2023 Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi. Hak Cipta Terpelihara