Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE)

PUSAT KECEMERLANGAN PENDIDIKAN TINGGI (HICoE) KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI (KPT)


Program Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (Higher Institution Centres of Excellence, HICoE) merupakan sebuah program Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) bagi memacu kecemerlangan penyelidikan IPT dalam dalam bidang penyelidikan nic. Melalui program ini, JPT memberi penarafan HICoE kepada pusat kecemerlangan IPT (Centre of Excellence, COE) yang berprestasi tinggi dalam bidang penyelidikan nic. Penarafan HICoE menyediakan insentif dalam bentuk geran penyelidikan kepada COE untuk memperkukuhkan keupayaan penyelidikan bidang nic bagi dilonjakkan ke peringkat yang lebih tinggi.


Penarafan HICoE merupakan satu pendekatan strategik untuk melonjakkan HICoE sebagai peneraju dalam penyelidikan bidang nic ke peringkat kebangsaan dan seterusnya dipupuk ke arah mencapai taraf antarabangsa serta mendukung sembilan (9) Sektor Keutamaan Negara yang kompetitif di dalam Ekosistem Inovasi Malaysia. Lanjutan daripada itu, COE yang menerima penarafan HICoE disediakan dana untuk melaksanakan program penyelidikan dalam bidang nic bagi membangunkan bakat penyelidikan baru, penerbitan berimpak tinggi, penghasilan inovasi dan pembentukan jaringan kolaborasi. Dana tersebut juga akan membantu HICoE meningkatkan keupayaan makmal penyelidikan nic ke arah mendapatkan pengiktirafan/akreditasi IS017025.


HICoE juga perlu menyediakan Pelan Tindakan dan Halatuju yang memperincikan perancangan program dan projek yang mampu melonjakkan kecemerlangan HICoE. Kemajuan prestasi HICoE dipantau oleh JPT melalui Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan ke atas HICoE di dalam Pelan Tindakan dan Halatuju tersebut. HICoE perlu mengemukakan laporan prestasi pencapaian menurut kala pemantauan yang ditetapkan oleh JPT. Prestasi pencapaian yang ditentukan melalui pemantauan tersebut akan digunakan oleh JPT sebagai asas bagi penyaluran dana penyelidikan HICoE seterusnya.

 

HICoE Teras Penyelidikan dan Inovasi
Definisi : Sebuah pusat yang melaksanakan aktiviti penyelidikan untuk meningkatkantahap dan kualiti perkhidmatan dan rundingan kepada industri dan masyarakat. Lebih70% aktiviti yang dilaksanakan oleh pusat ini bertumpu kepada penyelidikan dan inovasimanakala kurang 30% meliputi aspek perkhidmatan dan rundingan.
Syarat Asas :
1. Pusat Kecemerlangan hendaklah ditubuhkan oleh IPT.
2. Penubuhan Pusat Kecemerlangan hendaklah diiktiraf oleh Senat dan Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU).
3. Pusat Kecemerlangan hendaklah telah ditubuhkan sekurang-kurangnya lima (5) tahun dan mempunyai rekod/bukti bagi pelbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang tempoh tersebut.
4. Pusat Kecemerlangan telah beroperasi sebagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) dengan bajet operasi tersendiri.
5. Pusat Kecemerlangan perlu mempunyai sekurang-kurangnya lima (5) orang staf akademik sepenuh masa berjawatan tetap.
6. Pusat Kecemerlangan perlu menyerlah dalam sekurang-kurangnya satu (1) bidang tujahan.

 

 

Kriteria Instrumen Penilaian HICoE Teras Penyelidikan Dan Inovasi

Pemarkahan Minimun:

1. Memperoleh 80 markah daripada markah keseluruhan; DAN

2. Memperoleh 48 markah daripada jumlah markah Seksyen B, C dan D

 

HICoE Teras Perkhidmatan
Definisi: Sebuah pusat yang menyediakan perkhidmatan dan perundingan kepadamasyarakat dan industri. Lebih daripada 70% aktivitinya hendaklah meliputi aspek perkhidmatan dan perundingan, manakala kurang daripada 30% meliputi aspek penyelidikan serta pengajaran dan pembelajaran.
Syarat Asas :
1. Pusat Kecemerlangan hendaklah ditubuhkan oleh IPT.
2. Penubuhan Pusat Kecemerlangan hendaklah diiktiraf oleh Senat dan Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU).
3. Pusat Kecemerlangan hendaklah telah ditubuhkan sekurang-kurangnya lima (5) tahun dan mempunyai rekod/bukti bagi pelbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang tempoh tersebut.
4. Pusat Kecemerlangan telah beroperasi sebagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) dengan bajet operasi tersendiri.
5. Pusat Kecemerlangan hendaklah mampu menampung kos operasi apabila diiktiraf dan mampu menjana pendapatan yang mencukupi untuk menampung kos operasi dan 50% emolumen selepas tiga tahun (3) diiktiraf sebagai HICoE.
6. Pusat Kecemerlangan perlu menyerlah dalam sekurang-kurangnya satu (1) bidang tujahan.

 

Kriteria Instrumen Penilaian HICoE Teras Perkhidmatan

Pemarkahan Minimun:

1. Memperoleh 80 markah daripada markah keseluruhan; DAN

2. Memperoleh 56 markah daripada jumlah markah Seksyen B dan D

  • Hits: 18620

Ikuti kami di media sosial rasmi:

©2023 Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi. Hak Cipta Terpelihara