JOM MASUK U ZON TIMUR II 2024

 

2 JUN 2024 I DEWAN KOMPLEKS SUKAN, UMPSA KAMPUS GAMBANG

Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Pro Canselor UMPSA diiringi Yang Mulia Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah serta Yang Mulia Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat mencemar duli bagi merasmikan Program Jom Masuk U 2024 Zon Timur II di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) pada 1 Jun 2024.

Program Jom Masuk U 2024 (JMU2024) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) bersama rakan strategik di Universiti Awam (UA) merupakan satu daripada inisiatif untuk membantu pelajar melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi (IPT), khususnya ke Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti atau Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA). Usaha ini adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015 – 2025 [PPPM PT] untuk meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi berkualiti dan seterusnya disasarkan dapat membantu generasi akan datang untuk meningkatkan taraf dan kualiti hidup.

Jom Masuk U 2024 Zon Timur II dilaksanakan dengan kerjasama UMPSA melibatkan kesemua 20 UA, Politeknik & Kolej komuniti, ILKA, agensi di bawah KPT iaitu MQA dan PTPTN, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Bank simpanan Nasional (BSN) serta lebih 30 IPTS melalui 63 reruai. Pelbagai aktiviti meliputi forum, sesi konsultansi, bimbingan untuk melengkapkan permohonan dan interaksi bersama pasukan UPUOnline dan IPT telah dilaksanakan dengan jayanya. Fokus pada kali ini adalah fasa pengemaskinian UPUOnline terutamanya lepasan SPM untuk kemasukan Sesi Akademik 2024/2025.

Program Jom Masuk U Zon Timur II selama 2 hari ini melabuhkan tirai dengan jumlah pengunjung seramai 18,339 orang. Tahniah diucapkan kepada pihak rakan strategik UMPSA.

Untuk makluman, pelajar lepasan SPM serta STPM/Setaraf masih berpeluang untuk membuat permohonan kemasukan ke IPTA melalui Portal UPUOnline sehingga 9 Jun 2024 (Ahad). Pembelian nombor pin melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) masih boleh dilakukan sehingga 8 Jun 2024 (Sabtu).

Jom Masuk U 2024 seterusnya akan diadakan pada 8 dan 9 Jun 2024 bertempat di Dewan Al-Bukhari, UiTM Cawangan Sabah Kampus Kota Kinabalu.

Hadir sama pada majlis perasmian adalah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi yang mewakili Menteri Pendidikan Tinggi, Prof Dr Azlinda Azman, Pro-Canselor UMPSA, Tan Sri Dato’ Dr. Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor, Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, Ahli Parlimen Paya Besar, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, Naib Canselor UMPSA, Prof Dato' Ts Dr Yuserrie Zainuddin, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM), Dato' Indera Nik Nasarudin bin Mohd Zawawi, Pegawai-pegawai Kanan KPT, JPT dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan Tertinggi UMPSA.

 

Ikuti kami di media sosial rasmi:

©2023 Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi. Hak Cipta Terpelihara