25 Jun 2024 | Georgetown, Pulau Pinang
Institusi-institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan diseru untuk terus mengeratkan kerjasama dan hubungan yang dinamik dengan para pemain industri E&E (Elektrikal dan Elektronik) multinasional yang beroperasi di Malaysia.
Saranan tersebut diangkat oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dalam menjadikan negara sebagai pusat perkembangan sektor semikonduktor termaju bukan sahaja di rantau ini, malah di peringkat global.
Beliau yang hadir bagi sesi dialog bersama para pemain industri E&E anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dan Universiti Sains Malaysia (USM) di sini pagi tadi, menyatakan ketekalan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melahirkan bakat masa hadapan dalam bidang tersebut selaras dengan hasrat Kerajaan.
Menurutnya, KPT turut merangka pelbagai usaha melibatkan penawaran yang luwes bagi menarik minat pelajar dalam apa jua jurusan untuk melanjutkan pengajian di bidang E&E yang ditawarkan di universiti-universiti awam (UA), politeknik serta kolej komuniti.
Langkah ini juga dapat membuktikan peranan penting IPT terutamanya di koridor Utara, sebagai penyedia bakat yang memiliki kepakaran dan kemahiran untuk memacu sektor semikonduktor negara.
Ini turut bertepatan dengan usaha-usaha yang pihak kerajaan lakukan dalam menggalakkan pelaburan asing melibatkan industri E&E masuk ke Malaysia yang telah menunjukkan peningkatan positif dan memberangsangkan.
Selain itu, beliau turut mempelawa kementerian-kementerian lain untuk berganding bahu bersamanya dalam membuka lebih banyak peluang kerjasama yang mampu menjana ekonomi dan inovasi.
Pada majlis tersebut juga, beliau telah menyaksikan sesi penyerahan cek simbolik daripada rakan-rakan industri kepada USM, Universiti Utara Malaysia (UUM), dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sebagai lambang kesepakatan antara IPT dan industri dalam membangunkan bakat masa hadapan negara.
Hadir sama menyertai sesi dialog Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman; Naib Canselor USM, Dato' Seri Prof. Ir. Abdul Rahman Mohamed; Naib Canselor UUM, Prof. Dr Mohd Fo’ad Sakdan; Naib Canselor UniMAP, Prof. Dato’ Ts. Dr. Zaliman Sauli; Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin; serta Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Prof. Dato' Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin.