KPPT ADAKAN LAWATAN RASMI KE BFSU DAN CUC; BUAT KUNJUNGAN HORMAT KEPADA DUTA BESAR MALAYSIA DI CHINA

 

22 - 23 September | Beijing, China 

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT), Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman yang dalam rangka lawatan kerja ke China meneruskan misi pengantarabangsaan pendidikan tinggi dengan mengadakan beberapa lawatan rasmi ke universiti tempatan.

Datuk Prof. Dr. Azlinda telah mengadakan lawatan rasmi ke Beijing Foreign Studies University (BFSU) usai majlis penamaan Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim bersempena Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke China pada 21 September 2024.

Perbincangan merangkumi aspek usaha berterusan BFSU dalam mengantarabangsakan Pengajian Melayu bersama-sama institusi pendidikan tinggi lain di China.

Pada masa yang sama, KPT dan BFSU bersetuju untuk mempelopori potensi kerjasama dalam bidang baharu selain Pengajian Melayu contohnya AI Linguistics dan mesin terjemahan.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi turut mengadakan lawatan rasmi ke Communication University of China di mana ia merupakan universiti ketiga di China yang menawarkan pengajian Bahasa Melayu iaitu sejak tahun 2001.

CUC turut dilantik sebagai Badan Pengembangan Bahasa Melayu di China pada tahun 2014 dengan kepakaran utamanya adalah media.

Perbincangan antara KPT dan CUC meliputi aspek kerjasama antara CUC bersama Universiti Awam di Malaysia khususnya MTUN dalam bidang digitalisasi.

Di kesempatan berada di negara Tembok Besar itu, Datuk Prof. Dr. Azlinda turut berkesempatan mengadakan kunjungan hormat kepada Duta Besar Malaysia ke Republik Rakyat China, TYT Dato' Norman Muhamad pada 23 September.

Perbincangan merangkumi keterusan program Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di BFSU bersama dengan 16 lagi universiti tempatan di China.

Turut dibincangkan usaha berterusan dalam inisiatif pengantarabangsaan pendidikan tinggi Malaysia di China.

Bersama KPPT dalam lawatan dan kunjungan berkenaan adalah Pengarah Pejabat Education Malaysia Beijing Muhammad Sallehuddin Mohd Dilif dan pegawai-pegawai lain.

Ikuti kami di media sosial rasmi:

©2023 Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi. Hak Cipta Terpelihara