PROGRAM 'IN PERSON WITH DOC ZAM' LABUH TIRAI, YB MENTERI PUAS HATI SAMBUTAN MAHASISWA

6 Oktober 2024 | Sintok, Kedah

 

Program jelajah 'In Person With Doc Zam' , yang bertujuan merapatkan hubungan antara kepimpinan tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan mahasiswa baharu, berakhir dengan penuh kejayaan dan penuh gempita di Universiti Utara Malaysia (UUM) malam semalam.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, hadir untuk menutup siri jelajah tersebut, di mana lebih 4,000 mahasiswa baharu dari UUM, serta mahasiswa dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) turut bersama menjayakannya.

Berkata kepada rakan media seusai majlis, YB Menteri meluahkan rasa puas hati dengan kejayaan keseluruhan program, terutamanya dari segi interaksi langsung antara beliau dan pelajar.

“Sambutan yang diterima benar-benar luar biasa, dan ini memberi peluang yang amat berharga untuk kita berinteraksi secara terus dengan pelajar. Malah, saya lihat mereka juga teruja dapat berkomunikasi secara langsung dengan saya sebagai menteri,” katanya penuh rasa syukur.

Beliau turut menambah bahawa kejayaan program ini adalah hasil daripada komitmen semua pihak terlibat, dan siri jelajah ini telah berjaya mencapai matlamatnya di kesemua lokasi.

Program ‘In Person With Doc Zam’ yang diadakan di UUM merupakan destinasi terakhir daripada siri jelajah yang melibatkan beberapa universiti lain sebelum ini.

Program ini jelas memberi impak positif kepada para pelajar, sekaligus menunjukkan komitmen KPT untuk terus mendekati dan memahami keperluan generasi pelajar masa kini.

Pada majlis tersebut, beliau telah turut melancarkan ‘myUUM Sticker’ yang mengintegrasikan enam sistem utama – SAMS, ASIS, GAIS, UUM ePAY, SEKURIS, dan FIMS – memudahkan operasi pengurusan pelekat kenderaan di kampus sekali gus sebagai satu langkah inovatif yang mencerminkan komitmen UUM terhadap transformasi digital dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada pelajar.

Terdahulu, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir turut mengambil kesempatan menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Perkasa Siswa (YPS) serta program SULUNG 3.0 kepada para pelajar terpilih dalam kalangan keluarga B40.

Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Azlinda Azman; Pengerusi Lembaga Pengarah UUM, Tan Sri Datuk Wira Dr. Hj. Mohd Shukor Hj. Mahfar; Naib Canselor UUM, Dato' Prof. Dr. Mohd Fo'ad Sakdan; dan Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli.

Ikuti kami di media sosial rasmi:

©2023 Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi. Hak Cipta Terpelihara