Putrajaya, 4 Jun 2025 – Springer Nature bersama Konsortium Sumber Elektronik Pendidikan Tinggi (KONSEPt) hari ini telah meluncurkan Transformative Agreement (TA) yang pertama seumpamanya di Malaysia dan Asia Tenggara.
Majlis peluncuran ini disempurnakan oleh Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi di Hotel Palm Garden, Putrajaya.
Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman dalam ucapan perasmiannya berkata, peluncuran Transformative Agreement ini membolehkan penyelidik dari semua 20 universiti awam di Malaysia menerbitkan hasil kajian mereka secara Akses Terbuka atau Open Access (OA). Ia memberi peluang kepada pelajar dan pensyarah menerbitkan jurnal mereka secara Akses Terbuka dengan lebih daripada 2,000 jurnal hibrid di bawah penerbit Springer Nature, di samping memberikan akses penuh kepada lebih 2,300 judul jurnal.
Tambahnya, Transformative Agreement atau TA bersama Springer Nature adalah Inisiatif terbaharu dan merupakan satu langkah signifikan dalam memacu perubahan landskap akses dan penerbitan ilmiah di institusi pengajian tinggi.
Inisiatif ini merupakan TA ketujuh bagi Springer Nature di Asia, selepas Hong Kong, India, Jepun, Korea Selatan, Thailand dan Taiwan. Springer Nature kini melibatkan lebih daripada 80 TA di seluruh dunia, melibatkan lebih 3,700 institusi penyelidikan.
Perjanjian ini juga bertepatan dengan ulang tahun ke-10 TA pertama Springer Nature, sekali gus menegaskan komitmen mereka terhadap akses terbuka yang inklusif dan mampan.