RANGKUMAN SESI TOWNHALL PENGURUSAN PELAJAR ANTARABANGSA BERSAMA INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI SWASTA (IPTS) TAHUN 2025

Putrajaya, 20 November 2025 – Bahagian Standard Swasta (BSS), Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) telah berjaya menganjurkan sesi Townhall Pengurusan Pelajar Antarabangsa bersama Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) Tahun 2025 bertempat di Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi. Program ini telah dirasmikan oleh YBrs. Profesor Dr. Zainal Amin bin Ayub, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan), Jabatan Pendidikan Tinggi.
Program berteraskan semangat “Sinergi MADANI Memacu Keunggulan Global” ini merupakan inisiatif strategik JPT dalam memperkukuh pengurusan pelajar antarabangsa melalui sesi libat urus bersama IPTS, memastikan perbincangan merangkumi pemahaman terhadap dasar semasa kerajaan serta menyelaras amalan terbaik dalam pengurusan pelajar antarabangsa.
Program ini telah disertai 209 wakil IPTS, dimulakan dengan taklimat daripada panel jemputan, diikuti sesi soal jawab yang membolehkan peserta mengemukakan soalan dan mendapatkan penjelasan lanjut mengenai prosedur pengurusan pelajar antarabangsa di IPTS.
Panel jemputan terdiri daripada BSS JPT yang menyampaikan taklimat bertajuk “Kewajipan IPTS untuk Menyenggara Daftar”; Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang membentangkan topik “Integriti Data dalam Proses Kelulusan Pas Pelajar Antarabangsa”; Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang memberikan taklimat “Pengurusan Pelajar Antarabangsa: Pemilihan dan Khidmat Sokongan Pelajar”; Education Malaysia Global Services (EMGS) yang menerangkan “Integriti Data dan Kaitannya dalam Memproses Kelulusan Visa Pelajar Antarabangsa”; serta Bahagian Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi (BPPT), JPT yang membentangkan pengisian bertajuk “Memperkasa Kecemerlangan Pendidikan Tinggi Global melalui Tadbir Urus Data Pelajar Antarabangsa yang Efisien”.
Diharapkan penganjuran program ini dapat membantu setiap IPTS dalam pengurusan pelajar antarabangsa. Sekalung tahniah turut dirakamkan kepada semua pihak yang terlibat serta ahli jawatankuasa pelaksana atas kejayaan program ini.



- Hits: 239