Majlis Prapelancaran Projek Wahana Rintis Semantik Ayat Nasional

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat mengukuhkan kredibilitinya dalam memartabatkan bahasa Melayu apabila melancarkan Pojek Wahana Rintis Semantik Ayat Nasional, (WaRiSAN MELAYU) bagi memperkasa ekosistem kecerdasan buatan (AI) Bahasa Melayu.
Majlis Prapelancaran Projek WaRiSAN MELAYU yang diadakan di Hotel Le Meridien, Putrajaya telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman.
Pada majlis ini juga, beliau turut menyaksikan penandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Sufian Jusoh dan Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari.
Projek WaRiSAN MELAYU merupakan satu inisiatif strategik yang mencerminkan komitmen UKM sebagai universiti watan dalam menerajui pembangunan ilmu, penyelidikan dan inovasi berteraskan bahasa kebangsaan.
Projek ini dirangka bagi membangunkan wahana rintis semantik ayat Bahasa Melayu yang berautoriti, sistematik dan berskala nasional, selari dengan keperluan semasa dalam bidang kecerdasan buatan, analitik data bahasa dan pemprosesan bahasa semula jadi.WaRiSAN MELAYU memberi tumpuan kepada pembangunan Model Bahasa Besar (LLM) Bahasa Melayu berdaulat, berteraskan kolaborasi nasional, kedaulatan data dan konteks tempatan untuk menyokong perkhidmatan awam dan sektor strategik negara.
Dengan peruntukan RM8 juta di bawah Belanjawan 2025 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, ia menandakan komitmen kerajaan untuk memperkasakan AI Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa digital negara.




- Hits: 497