KPT LUNCUR DANA KELESTARIAN PENYELIDIKAN RM100 JUTA PACU INOVASI NEGARA



26 Februari 2026 | Putrajaya
Landskap penyelidikan dan inovasi negara bakal memacu pertumbuhan sosioekonomi berteraskan teknologi tinggi selaras dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13). Menyedari kepentingan tersebut, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited memastikan ekosistem penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (RDC&I) terus mampan merentasi sempadan akademik semata-mata.
Bagi merealisasikan hasrat itu, KPT meluncurkan Dana Kelestarian Penyelidikan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) Tahun 2026 dengan peruntukan bernilai RM100 juta. Majlis pelancaran dan taklimat geran tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman di Dewan Za'aba pagi tadi. Inisiatif baharu di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) ini bertujuan mengubah paradigma penyelidikan daripada fasa pencarian ilmu kepada penterjemahan impak yang memberikan manfaat nyata kepada masyarakat.
Tiga (3) skop utama telah digariskan di bawah dana ini merangkumi penyelidikan eksploratori dan transformasi, penyelidikan bersifat kolaboratif konsortium, serta penyelidikan inovasi produk. KPT turut memberi penekanan serius terhadap penubuhan syarikat pemula dan syarikat terbitan berasaskan teknologi universiti bagi membolehkan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) menjadi pencipta peluang pekerjaan.
Bagi memperkukuh tadbir urus projek, KPT turut melancarkan sistem READY (Research and Innovation Data Intelligence) bagi menggantikan MyGRANTS bermula pertengahan April depan. Sistem bersepadu ini akan memantapkan pemantauan masa nyata serta meningkatkan akauntabiliti pengurusan geran penyelidikan negara secara digital dan komprehensif. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Dato' Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Governan dan Pembangunan), Ahmad Rizal Adnan; serta Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan), Prof. Dr. Zainal Amin Ayub.




- Hits: 941