UiTM Cipta Sejarah Universiti Malaysia Pertama Menyertai Indonesia International Furniture Expo (IIFEX) 2026

Universiti Teknologi MARA (UiTM) mencipta sejarah apabila menjadi universiti Malaysia pertama yang dijemput khas menyertai Indonesia International Furniture Expo (IIFEX) 2026 di Jakarta, Indonesia. Penyertaan melalui UiTM Cawangan Perak ini merupakan sebahagian daripada agenda pengukuhan jaringan industri global yang turut menyokong pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara. UiTM menerima tajaan pavilion khas daripada penganjur utama, Himpunan Industri Mebel & Kerajinan Indonesia (HIMKI), sebagai pengiktirafan terhadap keupayaan institusi pendidikan tinggi Malaysia dalam bidang reka bentuk dan industri kreatif.
Pavillion UiTM menampilkan hasil karya reka bentuk perabot pelajar, daripada peringkat prototaip sehingga produk sedia dikomersialkan, Karya-karya pelajar yang dipamerkan adalah hasil kolaborasi UiTM Cawangan Perak dengan beberapa universiti di Indonesia melalui pertandingan rekabentuk perabot peringkat antarabangsa. Tiga karya pelajar UiTM Cawangan Perak telah dinobatkan sebagai pemenang dan seterusnya direalisasikan di kilang perabot milik syarikat Indonesia, Kriya Nusantara.
Pavilion tersebut telah direka bentuk oleh Pensyarah Teknologi Reka Bentuk Industri, Fakulti Seni Lukis & Seni Reka (FSSR), UiTM Shah Alam, Encik Mohd Shaleh M. Mujir, berasaskan motif dan identiti Malaysia yang mencerminkan warisan serta nilai estetika tempatan.
IIFEX 2026 menghimpunkan ribuan pempamer serta pembelidan pemain industri dari lebih 120 negara, menjadikannya antara platform perdagangan perabot terbesar di dunia. Penyertaan UiTM pada kali ini membuka ruang kepada pameran bakat dan inovasi pelajar Malaysia sekaligus mengangkat hasil inovasi Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia di pentas antarabangsa.
Delegasi UiTM diwakili oleh Profesor Madya Dr Nur Hisham Ibrahim, Rektor UiTM Cawangan Perak, Profesor Madya Dr Muhamad Abdul Aziz Ab Gani, Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni (PJIMA), UiTM Cawangan Perak, Ts Dr Zaaba Ahmad, En Mohd Shahrizan Mohd Said, En Muh Sarip Abd Rahman. Manakala turut serta bersama ialah Dekan Fakulti Seni Lukis & Seni Reka (FSSR) UiTM Shah Alam, Profesor Madya Ts Dr Azhar Abd Jamil dan wakil dari Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi iaitu Puan Mujahidah Khairun Nisak Rosli, Ketua Seksyen Pengurusan Strategik, Kualiti dan Inovasi.




- Hits: 553