DSA & NATSEC 2026



DSA & NATSEC 2026: 3 UA METERAI 16 PERJANJIAN STRATEGIK DENGAN RAKAN INDUSTRI PERTAHANAN
20 April 2026 | Kuala Lumpur
Integrasi antara kecemerlangan akademik dan kedaulatan nasional kini menjadi agenda utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memastikan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) berfungsi sebagai enjin inovasi yang responsif kepada keperluan negara. Sehubungan itu, sebanyak 16 buah perjanjian strategik telah dimeterai oleh tiga (3) buah Universiti Awam (UA) dengan pelbagai rakan industri pertahanan sempena pameran Defence Services Asia (DSA) and National Security (NATSEC) Asia 2026 yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur siang tadi.
Majlis pertukaran dokumen tersebut telah disempurnakan serta disaksikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBhg. Prof. Datuk Dr. Azlinda Azman. Kolaborasi strategik tersebut melibatkan penyertaan daripada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Secara keseluruhannya, rangkaian kerjasama yang dimeterai tersebut merangkumi tujuh (7) Memorandum Perjanjian (MoA), empat (4) Memorandum Persefahaman (MoU), tiga (3) Perjanjian Kerahsiaan (NDA), dan dua (2) Surat Niat (LoI).
Menurut YBhg. Datuk Prof. Dr. Azlinda, langkah proaktif itu berupaya mengubah persepsi universiti sebagai 'menara gading' yang terasing, sebaliknya memposisikan mereka sebagai rakan kongsi teknologi pertahanan yang aktif dalam ekosistem nasional. Perjanjian tersebut memfokuskan kepada pemindahan ilmu teknikal dalam bidang kritikal seperti sistem peluru berpandu, teknologi dron, serta keselamatan siber. Dalam masa yang sama, sinergi yang terjalin itu dijangka mampu mengurangkan kebergantungan negara terhadap teknologi luar melalui penghasilan penyelesaian tempatan yang berimpak tinggi.
Justeru itu, KPT komited memastikan kolaborasi tersebut diterjemahkan kepada hasil ketara yang bukan sahaja memperkukuh pertahanan negara, malah meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam bidang teknologi tinggi. Turut hadir, Naib Canselor UPNM, Lt. Jen. Datuk Wira Arman Rumaizi; para Naib Canselor UA serta para pemain industri pertahanan.





- Hits: 354