Laman Utama

 KPT PERKUKUH JARINGAN GLOBAL BELIA MENERUSI KEM INTERAKSI BAHASA DAN BUDAYA MALAYSIA–CHINA

  682613543 1491870846312527 969806772503021494 n

27 April 2026 | Putrajaya

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi menerusi penganjuran Kem Interaksi Bahasa dan Budaya Belia China-Malaysia 2026 sebagai inisiatif strategik bagi memperkukuh diplomasi pendidikan dan pemerkasaan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa pagi ini.Program julung kali yang diadakan di Malaysia khususnya di Putrajaya dan Kuala Lumpur ini menghimpunkan seramai 59 orang delegasi pensyarah dan pelajar jurusan Bahasa Melayu daripada 13 institusi pendidikan tinggi China bersama-sama KPT serta agensi rakan strategik termasuk Kedutaan Besar Negara China ke Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, dan Universiti Awam tempatan.
 
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan), Prof. Dr. Zainal Amin Ayub dalam ucapannya menyatakan penganjuran ini merupakan platform penting dalam mempereratkan hubungan dua hala yang telah terjalin lebih lima dekad menerusi pendekatan people-to-people engagement.Menurut beliau, pengajian Bahasa Melayu kini telah berkembang pesat di China dengan penglibatannya di lebih 17 buah IPT di negara tembok besar tersebut.Jelas beliau lagi, tumpuan utama KPT ketika ini adalah untuk memperkukuh Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di Beijing Foreign Studies University (BFSU) sebagai pemangkin kecemerlangan akademik di persada global.
 
Pelantikan Prof. Dr. Indirawati Zahid sebagai penyandang kursi tersebut pada Disember 2025 menandakan fasa baharu dalam usaha meluaskan jaringan penyelidikan dan pembangunan ilmu antara kedua-dua negara.Dalam pada itu, majlis perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Adam Adli Abd Halim yang turut menekankan kepentingan hubungan strategik Malaysia–China dalam memperkasa kerjasama pendidikan tinggi yang berimpak tinggi dan mampan menerusi sesi dialog yang membincangkan peranan bahasa sebagai jambatan budaya.Program ini juga sejajar dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang memberi penekanan kepada pembangunan graduan berkeupayaan global, berfikiran terbuka serta mampu menyesuaikan diri dalam persekitaran antarabangsa yang dinamik.
 
KPT berharap agar penganjuran program seumpama ini dapat diteruskan sebagai platform strategik dalam membina jaringan kerjasama jangka panjang serta menyumbang kepada pengukuhan hubungan dua hala Malaysia–China ke tahap yang lebih tinggi.Turut hadir, Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Ouyang Yujing; Penyandang Kursi Pengajian Bahasa Melayu Sultan Ibrahim, Prof. Dr. Indirawati Zahid; Ketua Delegasi merangkap Dekan Fakulti Pengajian Asia Beijing Foreign Studies University China, Prof. Dr. Su Yingying dan Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka, Fauzilahyatun Mustafa.
 
 

 682661709 1491868906312721 6539214530122944565 n

 681264583 1491868522979426 4130312795529624857 n

 679857051 1491868776312734 9123024768109558694 n

 
 678977466 1491869382979340 345015948230397385 n

 677809199 1491869856312626 5645725908585924395 n

 679772429 1491869206312691 2131132762623886229 n

  • Hits: 310

Ikuti kami di media sosial rasmi:

©2023 Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi. Hak Cipta Terpelihara