MAJLIS PELUNCURAN PROGRAM KEMBARA PENDIDIKAN TINGGI @TERENGGANU & PENYERAHAN PROJEK KAMPUNG ANGKAT MADANI UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU



19 Mei 2026 | Selasa
YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi telah meluncurkan Program Kembara Pendidikan Tinggi @Terengganu bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Menerong, Ajil, Terengganu. Program ini turut dihadiri oleh YBhg. Dato' Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), YBrs.Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri bin Ibrahim, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), YBhg. Dato' Profesor Dr. Md Amin Bin Md Taff, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta para pegawai pengurusan tinggi JPT, UMT, UPSI, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Politeknik dan Kolej Komuniti di Terengganu.
Program Kembara Pendidikan Tinggi @ Terengganu adalah satu usaha dan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi bertujuan bagi membawa perkhidmatan dan kepakaran yang ada di KPT khususnya di Universiti Awam, Politeknik dan Kolej Komuniti bagi menyantuni dan membantu komuniti di Terengganu.Sempena dengan majlis peluncuran program tersebut pelbagai aktiviti dan pameran telah dilaksanakan oleh UMT, UniSZA, UPSI, UMPSA dan UMK di SMK Menerong, Ajil, Terengganu. Di antara aktiviti yang dilaksanakan adalah:
i. Pameran STEM (STEM on Wheels)
ii. Fun Walk;
iii. Pameran Pengajian di IPT;
iv. Pameran Projek Pemindahan Ilmu;
v. Sesi Kaunseling dan Bimbingan Pendidikan:
vi. Pemeriksaan Kesihatan (Klinik Bergerak);
vii. Flea Market;
viii. Jualan Agro MADANI; dan
ix. Pemeriksaan Haiwan (Klinik Veterinar Bergerak)
Seramai lebih kurang tiga ribu (3000) orang telah menghadiri Majlis Peluncuran Program Kembara Pendidikan Tinggi @ Terengganu & Penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI UMT di SMK Menerong, Ajil, Terengganu.Aktiviti khidmat masyarakat juga telah dilaksanakan oleh para pensyarah, kakitangan dan mahasiswa UMT di Kampung Menerong bagi meningkatkan kesejahteraan komuniti Kampung Menerong di Ajil, Terengganu.YB Menteri Pendidikan Tinggi juga telah menyaksikan penyerahan projek Kampung Angkat MADANI UMT di dalam majlis tersebut. YB Menteri Pendidikan Tinggi telah turut menyerahkan sijil penyertaan kepada semua wakil komuniti Kampung Menerong yang terlibat dalam projek-projek pemindahan ilmu yang dilaksanakan oleh UMT dalam program Kampung Angkat MADANI tersebut.




- Hits: 263