• Laman Utama
  • Kenyataan Media
  • Kenyataan Media: Peluang Melanjutkan Pengajian Kepada Pelajar-Pelajar Kurang Upaya (OKU) Bagi Pemohon Lepasan Spm Untuk Kemasukan Ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam Dan Institusi Latihan Kemahiran Awam Sesi Akademik 2021/2022

KENYATAAN MEDIA

PELUANG MELANJUTKAN PENGAJIAN KEPADA PELAJAR-PELAJAR KURANG UPAYA (OKU) BAGI PEMOHON LEPASAN SPM UNTUK KEMASUKAN KE INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI AWAM DAN INSTITUSI LATIHAN KEMAHIRAN AWAM SESI AKADEMIK 2021/2022


Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memandang serius laporan seorang calon Orang Kurang Upaya (OKU) telah dinafikan peluang untuk mengambil kursus-kursus yang dipohon melalui saluran UPUOnline.

Berdasarkan semakan Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA), pemohon tersebut merupakan calon dari Kategori B iaitu lepasan SPM 2019 dan memohon untuk ke Program ASASI pintar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sesi akademik 2021/2022. Calon tersebut tidak melepasi syarat kelayakan minimum kemasukan program tersebut.

Syarat minimum kemasukan ke program ASASI pintar UKM memerlukan calon mendapat 7A- dalam subjek tertentu termasuklah Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi. Bagaimanapun, calon ini masih lagi dibenarkan membuat kemaskini yang masih dibuka sehingga 2 Julai 2021.

Calon sebelum ini telah menolak tawaran program Diploma Teknologi Makmal Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi sesi akademik 2020/2021.

KPT ingin menegaskan bahawa Dasar Inklusif OKU di IPT masih lagi diamalkan dan tiada sebarang sekatan seperti yang didakwa. Malah, KPT telah memperluaskan peluang pendidikan kepada rakyat Malaysia dengan mewujudkan laluan khas kepada golongan B40, OKU, Orang Asli dan Atlet untuk melanjutkan pengajian ke IPTA dan ILKA di peringkat Sijil, Diploma, Asasi dan Ijazah Sarjana Muda. Golongan ini hanya perlu melepasi syarat am dan syarat khas program seperti ditetapkan oleh Universiti yang dipilih.

Peningkatan akses Pendidikan Tinggi bagi kelompok Golongan B40, OKU, Orang Asli dan Atlet adalah untuk memastikan ekuiti di peringkat pendidikan tinggi dengan memberi peluang kepada setiap pelajar untuk mencapai potensi diri sepenuhnya tanpa mengira lokasi, bangsa, jantina atau latar belakang sosio ekonomi seperti yang digariskan aspirasi sistem (akses dan ekuiti) Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia – Pendidikan Tinggi, PPPM (PT).

Semua data berkaitan laluan khas ini adalah dengan kerjasama strategik pelbagai pihak bagi perkongsian data iaitu dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk data OKU, Jabatan Pendaftaran Negara untuk Orang Asli, Bahagian Sukan Kokurikulum Dan Kesenian, KPT untuk data Atlet Sukan dan seterusnya data e-KASIH dari ICU JPM untuk data B40.

KPT melalui BKPA menyokong sepenuhnya Teras Strategik 3 (Meningkatkan akses OKU kepada Pendidikan) yang telah digariskan dalam Pelan Tindakan Orang Kurang Upaya (PTOKU) 2016-2022.

Pemohon OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mengemukakan permohonan melalui UPUOnline akan dipertimbangkan bagi kemasukan tanpa merit tertakluk memenuhi syarat am dan minimum syarat khas yang ditetapkan mengikut program pengajian yang dipohon.

Penawaran program kepada golongan OKU ini adalah melalui persetujuan bersama agensi/ institusi dengan mengambil kira kesediaan prasarana mesra OKU institusi itu sendiri bagi memastikan golongan OKU dapat mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan selesa. Penawaran program pengajian ini juga perlu mengambil kira pencapaian akademik pelajar.

PROF. DATO’ DR. HUSAINI OMAR
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi
Jabatan Pendidikan Tinggi
Kementerian Pengajian Tinggi

23 Jun 2021

Sumber: Laman Web Kementerian Pengajian Tinggi

  • Hits: 262

Ikuti kami di media sosial rasmi:

©2020 Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pangajian Tinggi. Hak Cipta Terpelihara