KENYATAAN MEDIA

PELANTIKAN NAIB CANSELOR UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS (UPSI)


Sukacita dimaklumkan bahawa YBhg. Prof. Dato’ Dr. Md. Amin Md. Taff dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang baharu bagi tempoh tiga (3) tahun berkuat kuasa mulai 24 Jun 2021 sehingga 23 Jun 2024. Beliau menggantikan YBhg. Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran yang telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada 7 Februari 2021.  

Pelantikan ini dibuat selaras dengan peruntukan dibawah Seksyen 12(1) Perlembagaan UPSI.

YBhg. Prof. Dato’ Dr. Md. Amin, 50 tahun, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Sukan dari UPSI pada tahun 2000, Postgraduate Diploma in Outdoor Education dan Ijazah Sarjana Outdoor Education dari University of Otago, New Zealand pada tahun 2004. Beliau seterusnya memperoleh Ijazah Doktor Falasafah (PhD) dalam Parks & Outdoor Recreation Management dari Universiti Putra Malaysia pada tahun 2000. Beliau berpengalaman luas dalam bidang pendidikan, pengurusan dan juga konsultansi. YBhg. Prof. Dato’ Dr. Md. Amin juga telah menerbitkan lebih 120 buah buku, artikel jurnal, prosiding, kertas polisi, laporan jemaah menteri dan artikel akhbar.

YBhg. Prof. Dato’ Dr. Md. Amin memulakan karier sebagai Guru Bukan Siswazah pada tahun 1993 hingga 2000. Beliau meniti kejayaan akademik dan pentadbiran sehingga dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI pada tahun 2017, selain menjalankan fungsi Naib Canselor UPSI.                                                                  

Beliau telah menyumbang kepakaran dan juga memaparkan kredibiliti kepimpinan melalui lantikan sebagai pakar rujuk dan ahli panel kesepakaran oleh pelbagai agensi termasuk lantikan oleh Jemaah Menteri Malaysia sebagai Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Insiden Bomba Lemas.

Di peringkat antarabangsa, beliau pernah diberikan tanggungjawab sebagai Pengarah Pejabat Education Malaysia Washington DC, Amerika Syarikat, iaitu pejabat Education Malaysia terbesar di dunia. Selain daripada itu, beliau juga pernah menjawat jawatan Setiausaha Agung Persekutuan Kanu ASEAN, menubuhkan Asia Pasific Outdoor Recreation Network dan terlibat aktif dalam penganjuran Washington International Education Conference dan Konferens NAFSA.

Atlet negara dalam sukan kayak ini juga telah mencatatkan pelbagai kecemerlangan dalam bidang sukan dan rekreasi. Antaranya muncul juara sukan kayak kebangsaan dan antarabangsa dari tahun 1993 - 2004, mengilham & menganjurkan pelbagai kejohanan sukan kayak dan rekreasi, menubuhkan UPSI Sports City, UPSI Adventure Park serta menerbitkan Kurikulum Pendidikan Kanu Kebangsaan yang digunapakai di seluruh Malaysia.

Beliau juga mengilhamkan Anugerah Perdana Scholar Award di Amerika Syarikat yang disampaikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia.

Kementerian percaya dengan pelantikan ini, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Md. Amin mampu menyumbang dan membawa UPSI ke arah pencapaian kemajuan akademik dan organisasi yang lebih cemerlang selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau dan antarabangsa.

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI

23 Jun 2021

Sumber: Laman Web Kementerian Pengajian Tinggi

  • Hits: 204

Ikuti kami di media sosial rasmi:

©2020 Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pangajian Tinggi. Hak Cipta Terpelihara