Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025

Sistem pendidikan tinggi Malaysia telah berkembang pesat dan semakin kukuh sejak beberapa dekad lalu. Dalam tempoh sepuluh tahun lalu, pertambahan enrolmen pelajar semakin ketara, peningkatan pengiktirafan global kian menyerlah dalam pelbagai aspek seperti penerbitan, hasil penyelidikan, paten, dan kualiti institusi, serta pertumbuhan mendadak bilangan pelajar antarabangsa. Pencapaian ini adalah hasil daripada daya usaha dan inovasi komuniti akademik di Malaysia, sumbangan sektor swasta dan pelaburan besar oleh pihak Kerajaan.


Namun demikian, Kementerian Pengajian Tinggi (Kementerian) maklum bahawa sistem ini perlu terus dipertingkatkan agar sentiasa berdaya saing seiring trend global. Sebagai contoh, teknologi disruptif seperti robotik termaju, Internet of Things, dan automasi kerja berkaitan ilmu pengetahuan dijangka akan merubah landskap perniagaan dan sosial secara menyeluruh. Justeru, belia Malaysia perlu dipersiapkan menerusi sistem pendidikan tinggi dan IPT yang ditransformasi untuk menghadapi masa depan yang mencabar dan sentiasa berubah.


Pada 2013, Kementerian telah mula merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) atau PPPM (PT). Dalam tempoh dua tahun, Kementerian telah mendapat pelbagai maklum balas daripada pakar pendidikan Malaysia dan antarabangsa, pemimpin IPT tempatan dan masyarakat umum. Hasilnya ialah pelan pendidikan tinggi yang dibangunkan oleh rakyat Malaysia, untuk rakyat Malaysia dan akan memacu Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

  • Hits: 147

Ikuti kami di media sosial rasmi:

©2020 Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pangajian Tinggi. Hak Cipta Terpelihara