Dokumen Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11)
Rancangan Malaysia Kesebelas, 2016-2020 (RMKe-11) adalah rancangan pembangunan yang penting dalam sejarah Malaysia. Memandangkan negara hanya mempunyai lima tahun sebelum mencapai tahun 2020, RMKe-11 adalah langkah kritikal dalam perjalanan kita menjadi negara maju yang inklusif dan mampan. Dalam tempoh lima tahun yang lalu, ekonomi Malaysia telah mencapai prestasi yang sangat cemerlang. Walaupun negara menghadapi pelbagai cabaran akibat kelembapan ekonomi global, Malaysia berada dalam kalangan negara yang mencatat kadar pertumbuhan KDNK tertinggi di rantau ini. Kualiti hidup rakyat juga telah bertambah baik berikutan peningkatan pendapatan per kapita dan pendapatan purata isi rumah. Penambahbaikan ini adalah hasil daripada pelbagai inisiatif pemantapan ekonomi dan tadbir urus yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan bagi meningkatan kualiti hidup rakyat. Antara inisiatif utama ialah Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang disokong oleh Rancangan Malaysia Kesepuluh.
Dalam usaha melangkah ke hadapan, kita perlu mengharungi persekitaran global yang lebih mencabar. Kita menjangkakan ekonomi global yang kurang stabil dan tidak menentu akibat kejatuhan harga minyak, naik turun nilai mata wang serta risiko geopolitik. Bagi mengekalkan momentum pertumbuhan dan memastikan rakyat terus menikmati kemakmuran, kita perlu mara ke hadapan dengan keazaman yang lebih tinggi dan mengambil langkah berani demi manfaat rakyat dalam jangka masa panjang.
RMKe-11 yang berasaskan Strategi Pembangunan Nasional Malaysia (MyNDS) akan memberikan tumpuan terhadap penyampaian outcome berimpak tinggi yang cepat kepada ekonomi modal (capital economy) dan ekonomi rakyat (people economy) dengan kos berpatutan. RMKe-11 akan memberikan lebih tumpuan kepada ekonomi rakyat, iaitu rakyat akan menjadi tunjang dan keutamaan dalam semua usaha pembangunan negara. Produktiviti dan inovasi akan menjadi tonggak utama dalam RMKe-11. Walaupun produktiviti dan inovasi diberikan penekanan dalam rancangan pembangunan yang lalu, namun kita belum mencapai hasil yang dihasratkan. Oleh yang demikian, RMKe-11 akan membuat perubahan ketara ke arah mencapai matlamat peningkatan produktiviti dan inovasi – menggariskan strategi dan program khusus berteraskan keberhasilan bagi meningkatkan produktiviti dan menjana kekayaan melalui inovasi. Lonjakan produktiviti dan inovasi ini akan menjadi asas kukuh kepada pembangunan ekonomi yang mampan, menjana peluang baharu dalam ekonomi dan memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat yang berterusan.
- Hits: 21941