PROGRAM "IN PERSON WITH DOC ZAM" WUJUDKAN INTERAKSI LEBIH DEKAT ANTARA MENTERI PENDIDIKAN TINGGI DENGAN MAHASISWA BAHARU UKM

 

29 September 2024 | Bangi, Selangor 

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah mengadakan sesi "In Person With Doc Zam" bersama hampir 5,000 orang mahasiswa baharu sesi 2024/2025 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini petang tadi.

Program yang julung-julung kali diadakan ini bertujuan memperkukuhkan hubungan antara mahasiswa dan pihak kementerian serta memberikan ruang bagi pelajar baharu untuk berinteraksi secara langsung dengan menteri.

Dalam ucapannya, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry menekankan kepentingan program ini yang menyediakan peluang kepada pelajar untuk berhubung dengan pihak universiti dan kementerian dalam suasana yang lebih santai dan interaktif.

Beliau berkata, walaupun sesi suai kenal sudah lama dilaksanakan sebelum ini, pendekatan yang lebih terbuka dan mesra sebegini perlu diterapkan agar pelajar dapat berkomunikasi dengan lebih bebas dan mudah.

"Program seperti ini memberi peluang kepada pelajar baharu untuk berinteraksi bukan sahaja sesama mereka, tetapi juga dengan pihak universiti dan kementerian.

Saya percaya bahawa dengan berjumpa dan berkomunikasi secara langsung, kita dapat memahami lebih mendalam isu-isu yang dihadapi oleh mereka dan bagaimana kita dapat membantu mereka," ujar beliau.

Program "In Person With Doc Zam" juga disiarkan secara langsung ke seluruh Universiti Awam (UA) tempatan, membolehkan lebih ramai pelajar di luar sana turut mengambil manfaat dalam sesi perkongsian ini.

Melalui pendekatan ini, Menteri Pendidikan Tinggi berharap dapat memperkukuhkan lagi hubungan antara kerajaan, universiti, dan mahasiswa serta memastikan suara pelajar didengar dan diberi perhatian sewajarnya.

Beliau turut menekankan bahawa inisiatif ini akan diteruskan ke UA yang lain dalam masa terdekat ini, bagi memastikan setiap mahasiswa baharu berpeluang mendapatkan maklumat dan mendengar pandangan langsung daripada pihak kementerian.

Program ini merupakan sebahagian daripada usaha beliau untuk mencipta suasana pembelajaran yang lebih inklusif dan responsif terhadap keperluan pelajar di seluruh negara.

Pada majlis tersebut beliau telah turut melancarkan aplikasi pintar, UKM Siswa, yang dibangunkan untuk memudahkan segala urusan mahasiswa sepanjang tempoh pengajian di UKM.

Aplikasi tersebut membolehkan pelajar mengakses keseluruhan sistem yang berkaitan mahasiswa seperti maklumat akademik, jadual kuliah dan peperiksaaan, iSTAR, eMerit, kewangan pelajar dan maklumat bantuan kebajikan seperti ePrihatin, haloKaunselor serta bantuan sara hidup siswa, termasuklah pengumuman pelbagai maklumat yang terkini.

Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato' Dr. Mohamad Abd. Razak; serta Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman. 

 

 

 1

6

 2

7

 3

8

 4

9

 5

10

  • Hits: 252

Ikuti kami di media sosial rasmi:

©2023 Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi. Hak Cipta Terpelihara