RANGKUMAN SESI TOWNHALL PENGURUSAN PELAJAR ANTARABANGSA BERSAMA INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI SWASTA (IPTS) TAHUN 2024
Putrajaya, 09 Mei 2024 – Seksyen Kawal Selia Lesen Pelajar Antarabangsa, Bahagian Standard Swasta, Jabatan Pendidikan Tinggi telah berjaya menganjurkan sesi “TOWNHALL PENGURUSAN PELAJAR ANTARABANGSA BERSAMA INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI SWASTA (IPTS) TAHUN 2024" bertempat di Dewan Za’ba Kementerian Pendidikan Tinggi yang telah dirasmikan oleh Prof. Dr. Azlinda binti Azman Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT).
Objektif penganjuran program ini adalah untuk meningkatkan jaringan komunikasi antara pemegang taruh dan IPTS dalam urusan berkaitan pengambilan dan pengurusan pelajar antarabangsa; meningkatkan kefahaman dan kecekapan pegawai hal ehwal pelajar antarabangsa di IPTS berkaitan pengurusan pelajar antarabangsa di IPTS masing-masing; menyampaikan dasar semasa kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau dan antarabangsa; dan menambah baik proses dan prosedur berkaitan pengambilan dan pengurusan pelajar antarabangsa berdasarkan input IPTS.
Townhall ini telah diadakan secara fizikal dan dalam talian menerusi penstriman facebook rasmi JPT. Panel jemputan dalam sesi ini yang hadir memberikan taklimat adalah Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkaitan tawaran kursus APEL kepada pelajar antarabangsa; Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), berkaitan pengurusan pelajar antarabangsa di IPTS termasuk pelan liberalisasi visa; Education Malaysia Global Services Corporate (EMGS), berkaitan proses permohonan baharu/pembaharuan pelajar antarabangsa yang terkini; dan Bahagian Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi - JPT (BPPT) berkaitan prosedur permohonan pengambilan pelajar antarabangsa yang terkini dan amalan terbaik dalam pengurusan pelajar antarabangsa.
Terima kasih diucapkan kepada semua ahli jawatankuasa pelaksana yang telah menjayakan program ini dan para tetamu yang hadir pada bengkel ini.
- Hits: 10198