RANGKUMAN SESI PROGRAM PEMBANGUNAN DAN PEMANTAPAN KEPIMPINAN BERSAMA INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI SWASTA (MyLEADER) TAHUN 2024

17 Mei 2024, Putrajaya - Bahagian Governan IPTS, Jabatan Pendidikan Tinggi telah menganjurkan Program Pembangunan dan Pemantapan Kepimpinan Bersama Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (MyLEADER) di Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi. Program MyLEADER yang dijalankan selama dua (2) hari ini iaitu pada 16 dan 17 Mei 2024 telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Ahmad Rizal bin Adnan, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Governan dan Pembangunan).
 
Objektif penganjuran program MyLEADER ini adalah untuk memberi nilai tambah kepada IPTS khususnya dalam pengurusan sumber bagi memastikan tadbir urus yang dinamik supaya kekal berdaya saing dan mampan. Program yang dihadiri oleh lembaga pengarah syarikat, ketua-ketua eksekutif dan pegawai sumber manusia IPTS ini telah diadakan secara fizikal dan turut disiarkan secara langsung menerusi platform Facebook Jabatan Pendidikan Tinggi. 
 
Seramai empat (4) orang penceramah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) telah dijemput bagi menyampaikan taklimat sepanjang program ini berlangsung. Penganjuran program MyLEADER pada kali ini memfokuskan topik berkaitan proses serta kriteria pengambilan pegawai dagang (ekspatriat), potongan cukai bagi pemberian biasiswa dan pembinaan kapasiti, pengetahuan, kemahiran kepimpinan mengenai pasaran modal dan peluang penempatan pekerjaan kepada graduan berprestasi tinggi. 
 
Terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa pelaksana yang terlibat bagi memastikan kelancaran program MyLEADER ini dan para tetamu yang hadir.

Ikuti kami di media sosial rasmi:

©2023 Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi. Hak Cipta Terpelihara